PASIR SALAK: Kehilangan seorang lelaki di dalam kawasan kebun kelapa sawit di sini yang berlaku 20 tahun lalu terus menjadi tanda tanya apabila tiada sebarang kesan atau jejak lelaki itu ditemukan sehingga kini.
Azir Dohom, yang ketika itu berusia 66 tahun dilaporkan hilang dalam kawasan kebun sawit di Sungai Pulai di sini pada Oktober 2004. Lokasi dia dikatakan hilang hanya kira-kira empat kilometer dari rumahnya.
Anak sulung Azir, Habsah, 59, berkata, kehilangan bapanya terus menjadi tanda tanya kerana tiada sebarang kesan atau jejak yang ditemukan.
Katanya, bapanya seorang yang sihat, tidak ada sebarang penyakit dan menjadi imam masjid dan surau di sekitar kawasan Pasir Salak.
Jelasnya, bapanya bekerja menguruskan kebun sawitnya, lokasi dia dilapokan hilang.
“Bapa saya juga mengajar agama fardu ain, tajwid, fekah dan mengaji di madrasah, masjid di sekitar Seberang Perak, Changkat Lada.
“Saya masih ingat, pada malam sebelum bapa hilang, bapa sempat menikmati masakan gulai udang galah yang menjadi kegemarannya.
“Keesokannya bapa ke kebun seperti biasa dan sejak itu kami tidak lagi melihat bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, mereka adik beradik sudah berusaha mencari bapa mereka termasuk dengan bantuan pihak yang berkenaan.
Katanya, walaupun kejadian itu sudah lama berlaku namun mereka berharap mendapat jawapan di sebalik kehilangan misteri bapa mereka.
“Jika bapa sudah meninggal di hutan, sudah tentu akan ada orang yang terjumpa mayatnya.
“Bapa hilang kira-kira sembilan hari menjelang bulan Ramadan 2004, Sekarang apabila Ramadan, kami teringat dan rindukan bapa.
“Kami tidak pernah berputus harapan menunggu bapa pulang walaupun sudah 20 tahun dia hilang,” katanya. – UTUSAN










