Melaka perluas kelas prasekolah di SJKC

Melaka perluas kelas prasekolah di SJKC

ROSLI Abdullah melihat aktiviti murid prasekolah ketika melawat sesi persekolahan 2024/2025 di SK Kampung Tun Razak, Bukit Katil, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedang mengenal pasti sekolah yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan kelas prasekolah, susulan kemasukan murid yang semakin meningkat dalam kelas berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rosli Abdullah berkata, setakat ini dua buah sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) di Alor Gajah dan Jasin telah mendapat kelulusan pengoperasian.

Kata beliau, sekolah-sekolah yang dikenal pasti perlu mematuhi kriteria sebelum perluasan kelas pra sekolah dapat dilaksanakan.

“Setakat ini kita telah kenal pasti dua buah sekolah yang mampu menjalankan prasekolah iaitu di SJKC Yok Sin dan SJKC Merlimau. Kita perlu meneliti sekolah-sekolah ini kerana permohonan peluasan ini adalah tanpa kos fizikal.

“Jadi lokasi itu mestilah sudah ada kemudahan atau spesifikasi yang ditetapkan seperti dapur untuk menyediakan makanan, ruang makan dan belajar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat sesi persekolahan 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak, Bukit Katil di sini, hari ini.

Tambah Rosli, sebanyak enam sekolah terlibat dalam peluasan kelas prasekolah pada tahun lalu iaitu SK Ayer Jernih, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kemuning (H/D), SJKC Machap Baru, SJKC Kiow Nam dan SJKC Bertam Hulu.

Menurutnya, kebanyakan perluasan itu dilaksanakan di SJKC kerana institusi berkenaan mempunyai kemudahan diperlukan.

“Sehingga kini sebanyak 174 sekolah di seluruh negeri ini ada menyediakan prasekolah termasuk di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka di Durian Daun, sekolah khas dan sekolah rendah agama (SRA) dengan jumlah kelas sebanyak 256 kelas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN