PETALING JAYA: Malaysia bersedia menjadi hab kepada syarikat Jerman dan Eropah yang mahu meneroka pasaran China, Jepun dan Korea Selatan dengan menyediakan pusat untuk sektor pengeksportan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa kini terdapat 700 syarikat Jerman beroperasi di Malaysia termasuk syarikat semikonduktor gergasi, Infineon Technologies membabitkan pelaburan RM25 bilion.
Menurut Perdana Menteri, hal ini disebabkan beberapa faktor termasuk keamanan, pertumbuhan pesat ekonomi dan hubungan rapat Malaysia dengan Eropah, Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan Korea Selatan.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, Malaysia juga mampu menawarkan barisan tenaga kerja mahir, infrastruktur moden, persekitaran kawal selia yang jelas selain potensi pertumbuhan besar.
“Semuanya kerana keamanan di rantau ASEAN. Kami mempunyai polisi ekonomi yang jelas, hubungan dinamik dengan semua negara walaupun kami lantang menyuarakan pendirian dalam banyak hal.
“Tetapi pada 2023, pelaburan masuk ke Malaysia meningkat kepada jumlah paling tinggi pernah dicapai sejak kemerdekaan pada 1957, malah pelaburan dalam kalangan syarikat Jerman turut meningkat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada SME Future Day 2024 anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW) di Berlin.
Anwar kini dalam rangka lawatan kerja sulungnya ke Jerman selama lima hari sehingga hari ini.
Perdana Menteri memberitahu, terdapat kegusaran dalam kalangan banyak pihak berhubung masalah antara AS dengan China berkemungkinan menjejaskan dunia, namun beliau tidak berpandangan sedemikian.
Katanya, isu berkenaan sudah diperkatakan sejak 50 tahun lalu dengan pelbagai persepsi negatif, namun ia perlu dihadkan di arena politik sahaja.
“Maksud saya, komuniti perniagaan perlu ambil pendekatan lebih realistik. Berdasarkan pengalaman hubungan dua hala dengan China bahkan kami menandatangani FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) dengan China, Jepun dan Korea Selatan. Jadi, kami sudah tentu sedia berkhidmat.
“Kami akan sediakan pangkalan untuk eksport seperti dilakukan Volkswagen dan Airbus termasuk Infineon Technologies dan banyak lagi,” ujarnya.
Beliau menambah, struktur ekonomi negara amat jelas bahkan berdasarkan kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan, Malaysia bakal menjadi hab utama bagi teknologi hijau membabitkan gas hidrogen dan amonia.
“Janakuasa hidro mungkin terbesar di rantau (ASEAN) sehinggakan kami mampu mengeksportnya ke ibu negara baharu Indonesia, (eksport) tenaga dari Sarawak ke Singapura dan kabel dasar laut.
“Ini membuktikan kami mempunyai sumber tenaga yang banyak,” katanya. – UTUSAN










