Malaysia sedia buka semula siasatan kehilangan MH370

Malaysia sedia buka semula siasatan kehilangan MH370

ANWAR Ibrahim bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di Melbourne. ketika lawatan Anwar ke Australia 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bersedia membuka semula siasatan berhubung insiden kehilangan pesawat bagi penerbanganMalaysia Airlines, MH370 yang hilang tanpa dikesan sejak 10 tahun lalu sekiranya mempunyai bukti baharu dan kukuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedar kerana isu kehilangan pesawat itu memberi kesan kepada rakyat.

“Mengenai insiden membabitkan (MH)370, kami telah mengambil pendirian bahawa jika ada bukti kukuh yang memerlukan kes itu dibuka semula, kami pasti akan berbuat demikian.

“Saya dengan sukacita bersedia membuka semula kes ini. Saya tidak fikir ia merupakan isu taktikal teknikal, sebaliknya ia membabitkan isu kehidupan dan apa sahaja yang perlu dilakukan, harus dilakukan,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di Melbourne bersempena lawatan rasmi ke Australia.

Pada 8 Mac 2014, pesawat yang mempunyai sebanyak 239 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China namun hilang daripada skrin radar dua jam kemudian.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan sehingga kini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan bersedia untuk mempertimbang cadangan untuk memulakan semula operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang tanpa dikesan sejak 10 tahun lalu.

Katanya, kementeriannya turut bersedia untuk menjemput pihak firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity ke Malaysia untuk memberi taklimat kepadanya.

Dalam pada itu, Albanese berkata, beliau memahami kesedihan dan kesengsaraan yang dialami oleh ahli keluarga mangsa melibatkan 239 penumpang termasuk enam warga Australia.

“Kami memahami bahawa ini adalah saat yang begitu sukar kepada ahli keluarga mangsa kerana mereka gagal mendapat kepastian dengan misi pencarian yang berjaya. la amat sukar,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi di Rumah Kerajaan, Victoria semalam bersempena lawatan empat hari beliau ke Australia.

Ketibaan Anwar disambut oleh Gabenor Victoria, Margaret Gardener dan Albanese.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN