Asal asnaf, kini Mahani miliki kedai jahit

Asal asnaf, kini Mahani miliki kedai jahit

MAHANI Udit menunjukkan koleksi pakaian kanak-kanak yang telah siap dijahit dan bersedia untuk dijual di kedainya di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Bermula sebagai asnaf yang menerima bantuan zakat gelandangan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) selama lapan tahun, seorang ibu tunggal, Mahani Udit, 34, kini berjaya menjadi usahawan kedai jahitan.

Tambah membanggakan, sebelum Ramadan lagi, Mahani dengan bantuan 20 orang pekerja berjaya menyiapkan 40,000 helai pakaian kanak-kanak untuk diedarkan kepada pemborong bagi jualan sempena Aidilfitri.

Mahani berkata, kejayaannya tidak datang bergolek kerana sebelum bergelar usahawan, dia pernah berdepan detik-detik sukar selepas bercerai pada 2010.

Mahani yang mempunyai dua lot kedai di Kompleks Bukit Jambul, berkata, pada 2010 hingga 2018, dia menerima bantuan zakat gelandangan berjumlah RM300 setiap bulan daripada ZPP kerana kesusahan hidup.

“Pada 2010, saya dan anak-anak tidur di masjid di sekitar Bukit Jambul dan ada kakitangan daripada ZPP yang menyantuni saya ketika itu.

“ZPP memberikan bantuan zakat gelandangan kepada saya dan juga kursus-kursus asas perniagaan serta geran perniagaan yang sesuai sehingga saya mampu bangkit semula dan menjadi usahawan kedai jahitan.

“Dua tahun lalu saya berjaya membayar zakat semula kepada orang-orang kampung saya di Kedah dan tidak lagi menerima bantuan zakat daripada ZPP,” katanya di sini, baru-baru ini.

Menurut Mahani, dia mula menjahit baju anak-anaknya kerana ingin lihat mereka berpakaian cantik dan tidak hanya memakai baju pemberian orang.

“Bermula dari situ, sedikit demi sedikit saya mengambil upah menjahit sehingga membuka dua lot kedai menjahit pakaian kanak-kanak dan dewasa selain ada 20 orang pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, sebelum Ramadan tiba lagi, dia dan pekerjanya sibuk menyiapkan tempahan pakaian kanak-kanak.

“Saya fokus untuk menyiapkan pakaian kanak-kanak untuk edaran pemborong dan 40,000 helai sudah diedarkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN