SEREMBAN: Lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat serta sukarelawan diseru untuk mengambil peluang bulan Ramadan dalam membantu kumpulan masyarakat yang kurang berkemampuan
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) malahan juga bersedia bekerjasama memberi data dan maklumat golongan sasar terbabit.
Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, langkah itu bagi memudahkan proses pengagihan bantuan sekali gus lebih banyak golongan sasar dapat dibantu dan disantuni dengan lebih baik.
“Di pihak kementerian, kami sedia bekerjasama dalam memberi data serta maklumat golongan sasar untuk diberi bantuan tersebut.
“Lazimnya pada setiap tahun di bulan Ramadan memang ramai sukarelawan, NGO dan pihak korporat memberi sumbangan dan langkah itu kami memang alu-alukan serta menggalakkan lebih ramai lagi ke hadapan membantu mereka yang memerlukan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Happening Raya di Mydin Seremban 2 di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.
Dalam pada itu, Noraini berkata, pihak kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sentiasa memastikan golongan sasar dapat dibantu.
“Saya sangat gembira, kementerian tidak bersendirian dalam usaha ini. Melalui kerjasama dengan syarikat korporat seperti Mydin ini, ia telah memberi makna besar kepada golongan sasar dalam meraikan Ramadan dan Aidilfitri.
“Dalam persediaan menyambut Aidilfitri seperti persiapan baju raya dan barangan keperluan raya, JKM juga telah mengenal pasti dan menyantuni individu serta keluarga B40 yang perlu diberi perhatian,” katanya lagi.-UTUSAN.










