JOHOR BAHRU: Sempena Ramadan kali ini, Kolej Kemahiran Johor (KKJ) menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai kepada 20 penuntutnya yang terdiri daripada keluarga memerlukan.
Seorang penerima, Muhammad Fairuz Peldaus mengakui amat bersyukur dan terharu dengan usaha yang diambil pihak kolej bagi meringankan kos sara hidup keluarganya ketika menyambut puasa.
Penuntut berusia 17 tahun yang tinggal berdua bersama ibunya, Norzana Wahid, 51, yang merupakan pekerja pembersihan di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di bandar raya ini.
Ibunya kini tidak lagi bekerja secara tetap, sebaliknya hanya dipanggil bertugas mengikut keperluan menyebabkan mereka berdepan kesempitan hidup kerana perlu membayar sewa rumah yang didiami sebanyak RM400 sebulan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan KKJ yang telah menyantuni keluarga saya serta menyampaikan bantuan sumbangan Ramadan yang serba sedikit dapat meringankan bebanan kami,’’ katanya selepas menerima sumbangan yang disampaikan Timbalan Ketua Eksekutif KKJ (Pembangunan Kemahiran, Alumni dan Pemasaran), Norlelawati Md. Akim di Flat Taman Tun Aminah, di sini.
Pelajar kursus automotif yang baru meneruskan pelajarannya ke tahap tiga di KKJ Johor Bahru bertekad untuk mendapatkan pekerjaan dengan segera bagi membantu menyara kehidupan keluarganya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Nur Hanis Hidayah Abdul Jalil, 19, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Iskandar, di sini turut gembira menerima sumbangan daripada pihak kolej berkenaan.
Nur Hanis Hidayah yang mengikuti Kursus Pembuatan Pastri Tahap Dua tinggal bersama ibunya, Rabiyana Md. Yusop, 42, yang tidak bekerja kerana menjaga neneknya yang berusia 80-an.
“Kami sekeluarga bergantung dengan bantuan bulanan yang diterima arwah bapa daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,700 sebulan, termasuk bagi menampung keperluan adik-adik yang masih bersekolah dan nenek yang kini uzur.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sumbangan daripada pihak kolej ini kerana ia sedikit sebanyak meringankan beban kos sara hidup, terutamanya semasa menyambut Ramadan,” katanya yang mempunyai dua orang adik yang masih bersekolah menengah selain perlu melunaskan sewa bulanan kediaman tersebut sebanyak RM250 sebulan.
Dia berazam untuk membela nasib keluarganya sejurus menamatkan pengajian dengan mencari pekerjaan yang boleh membantu meringankan bebanan keluarga. – UTUSAN










