SABAK BERNAM: Kes seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasih hamilnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang.
Majistret Siti Hajar Ali memutuskan demikian selepas memperoleh izin pihak pendakwaan bagi perbicaraan kes berkenaan. Namun, tarikh bagi sebutan semula kes dan prosiding seterusnya di Mahkamah Tinggi itu belum ditetapkan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21, didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei tahun lalu.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Tamrin.
Terdahulu, Muhammad Fakrul yang berbaju ‘T’ putih tiba dengan trak polis di mahkamah itu, kira-kira pukul 10.20 pagi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki diibaratkan dirasuk syaitan apabila bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek sebanyak dua kali selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa.
Selain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dipercayai turut sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa.
Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat mangsa, kira-kira pukul 8.15 pagi. – UTUSAN










