Kerusi Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak berubah

Kerusi Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak berubah

parlimen
GAMBAR hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dalam Dewan Rakyat tidak sebaris dengan lima ahli Parlimen yang telah berubah kedudukannya susulan tindakan menyokong Perdana Menteri.

Berdasarkan semakan Utusan Malaysia, kedudukan lima ahli Parlimen berkenaan diubah setelah permohonan dibuat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Perkara itu dimaklumkan oleh Johari dengan berkata, perubahan itu dibuat apabila wakil rak­yat berkenaan memohon untuk berpindah daripada kedudukan asal atas sebab-sebab tertentu.

PILIHAN

“Yang Berhormat (YB) apabila masuk ke dewan ini ada pilihan, iaitu menulis surat kepada saya (menyatakan) YB tak selesa dengan kawan sebelah. Saya tak bertanya soalan. Pada pertimbangan saya, anda mahu pindah, pindah­lah. Asalkan tidak berpindah ke sebelah sini (blok kerajaan). Yang itu hanya boleh apabila sudah cukup bilangan nanti.

“Kadangkala ada isu tertentu seperti masalah kesihatan. Apa juga alasannya, selagi dia menulis surat kepada saya dan saya boleh buat keputusan, saya akan buat keputusan. Begitu juga kita ada Ahli Parlimen baharu, kedudukan) dia ikut kekananan dalam parti. Kita terima dan terbuka mengenainya juga,” katanya dipetik sebelum ini.

Berpandukan pelan kedudukan ahli Dewan Rakyat yang dikemas kini semalam, Zon E menempatkan wakil rakyat blok pembangkang dan Bebas.

Ia turut menempatkan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, masing-masing adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim (E50); Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik (E51) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (E52).

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (E48) dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (E49) juga turut berubah sebaris dengan tiga lagi yang menyokong Perdana Menteri.

Namun, Iskandar masih pada kedudukan yang sama dan tidak berubah iaitu E12.

Untuk rekod, Iskandar mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri pada 12 Oktober lalu.

PERUNTUKAN

Susulan itu, beliau kemudiannya mengakui peruntukan telah diterima daripada Kerajaan Perpaduan, sekali gus dana tersebut boleh digunakan bagi membiayai program kebajikan rakyat di Kuala Kangsar.

Akhbar ini cuba menghubungi Ahli Parlimen Kuala Kangsar, namun masih gagal bagi mendapatkan respon berhubung perkara tersebut.

Semalam, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, lima daripada enam ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Perdana Menteri sepakat kekal menyokong kepemimpinan Perdana Menteri manakala Iskandar dikatakan mempunyai pendirian tersendiri.

Keputusan bersama itu melibatkannya bersama Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Penegasan Suhaili itu adalah susulan daripada pindaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung pelucutan keah­lian bagi ahli Parlimen yang menyokong pihak lawan.

Pindaan berkenaan melibatkan tambahan tiga perkara baharu dalam Fasal 10 Perlembagaan Bersatu, dimana Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, dengan kelulusan tersebut, keahlian ahli parti yang menyokong pihak lawan akan terhenti selepas pindaan Perlembagaan itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN