KUALA LUMPUR: Selepas tertangguh dua kali, Mahkamah Rayuan dijangka bakal memberi keputusan terhadap rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berhubung sabitan dan hukuman penjara serta denda dikenakan terhadapnya kerana didapati bersalah atas tuduhan rasuah.
Keputusan itu akan dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) ketika membaca penghakimannya menyatakan, modus operandi Mohd. Isa untuk mendapatkan rasuah adalah dengan cara `kirim salam’.
Sembilan kali Mohd. Isa berkirim salam melalui bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md. Arip kepada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB), Ikhwan Zaidel dan beliau memperoleh wang tunai berjumlah RM3.09 juta.
Hakim itu juga memutuskan selepas mendapati pembelaan dikemukakan Mohd. Isa adalah satu perkara yang difikirkan kemudian, tidak konsisten dan hanyalah satu penafian tanpa sokongan berasas atau boleh dipercayai.
‘Salam’ itu juga telah mengakibatkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dihukum penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta. Gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara tertuduh boleh ditambah 18 tahun.
Ketika prosiding rayuan 16 Oktober 2023, peguam bela, Datuk Salehuddin Saidin berkata, anak guamnya perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd. Isa menerima wang berkenaan.
Beliau juga berhujah bahawa Mahkamah Tinggi menggunakan prinsip undang-undang salah kerana gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan yang tidak dinilai secara keseluruhan sebelum membuat kesimpulan.
SUAPAN
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berhujah Mohd. Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan walaupun tidak berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel, dalam mana-mana urus niaga yang membabitkan jumlah berkenaan.
Suapan berkenaan dikatakan diterima oleh Mohd Isa melalui bekas pembantunya, Muhammad Zahid Arip Zahid.
Afzainizam berkata, suapan itu dibayar kerana bimbang Mohd. Isa mungkin menggunakan pengaruhnya untuk membatal atau menangguhkan pembayaran bagi pengambilalihan hotel itu, sambil menambah bahawa anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd sebelum ini menolak cadangan untuk membeli hotel itu.
Mohd. Isa kini berada dalam jaminan sebanyak RM1.5 juta dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan kes itu selesai.- UTUSAN










