SEREMBAN: Dua orang ejen hartanah direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu pinjaman pembiayaan kenderaan kepada bank bagi pembelian ke atas dua buah kenderaan.
Majistret, Mahkamah Majistret Seremban, Nurul Saqinah Rosli membenarkan permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahaya.
Dalam tempoh reman tersebut, kedua-dua suspek akan ditempatkan di lokap SPRM Negeri Sembilan.
Terdahulu, menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen iaitu Borang Permohonan Pinjaman Pembiayaan Kenderaan yang mengandungi butir matan palsu kepada pihak bank bagi pembelian dua buah kenderaan iaitu Proton X50 (Flagship) dan BMW 528i.
Seorang daripada mereka ditahan semalam kira-kira pukul 12.15 tegahari ketika hadir di Pejabat SPRM Negeri Johor manakala seorang lagi suspek lelaki turut ditahan di Chemor, Perak pada pukul 1.30 petang hari yang sama bagi membantu siasatan pengemukaan dokumen palsu ini.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-UTUSAN.










