MUAR: Seorang kelindan lori perabot dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja yang baharu dikenalinya, Februari lalu.
Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Syazwan Akmal, 27, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang berasal dari Kampung Baru, Batu 5 di sini didakwa menyentuh pipi dan kemaluan mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Sungai Abong, di sini kira-kira pukul 9 pagi, 20 Februari lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol remaja yang masih bersekolah itu di tempat yang sama pada 8 pagi, 23 Februari lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang sama, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh berkenalan dengan mangsa di kedai makan milik ibu mangsa.
Setelah sebulan berkenalan, tertuduh mengajak mangsa keluar jalan-jalan sebelum membawanya menginap di bilik hotel sebelum melakukan amang seksual dan merogol mangsa pada hari yang berlainan.
Hakim menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan dua sebatan bagi kes amang seksual dan satu tahun penjara dan satu sebatan untuk kesalahan merogol.
Hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 8 Mac lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN









