JOHOR BAHRU: Polis telah mengambil keterangan seramai 10 saksi kejadian seorang ibu mengelar anak lelakinya yang berusia setahun enam bulan sehingga mati di Pasir Gudang, 16 Mac lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, antara pihak yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk suami suspek dan jiran-jiran.
“Suspek yang berusia 32 tahun telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 21 Mac lalu.
“Pada masa ini, mahkamah memerintahkan suspek dihantar ke Hospital Permai untuk mendapatkan penilaian kesihatan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Peringkat Negeri Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.
Kumar berkata, kebiasannya penilaian kesihatan akan dibuat selama sebulan, namun sekiranya tempoh lebih lama diperlukan proses itu boleh mencapai tiga bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Kumar turut memaklumkan pihaknya sudah menerima lima laporan melibatkan enam mangsa membabitkan perbuatan liwat seorang pemimpin sayap pemuda sebuah parti politik di Mersing.
“Pada masa ini suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tindakan lanjut oleh Pejabat Pendakwa Raya.
“Kita juga menasihatkan mangsa-mangsa kes sedemikian untuk tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan pembelaan terhadap kejadian yang menimpa mereka,” jelasnya.











