KOTA BHARU: Nama kelab bola sepak Kelantan United secara rasminya ditukar kepada Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) berkuatkuasa hari ini.
Presidennya Rozi Muhamad berkata, pengumuman tersebut dibuat selepas proses tersebut mendapat kelulusan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) and First Instance Body (FIB).
Menurutnya, pada masa sama langkah tersebut seiring dengan harapan dan aspirasi semua pihak yang mahukan seluruh peminat sukan berkenaan disatukan bawah bendera Kelantan.
“Misi dan visi pihak pengurusan adalah sangat jelas bahawa perubahan nama dan logo ini bukan untuk menggantikan pasukan utama, namun satu perubahan demi melihat sebuah kelab berdaya saing beraksi di hirarki tertinggi Liga Malaysia.
“Ia merupakan langkah untuk membolehkan kelab ini bersaing dengan kelab-kelab utama lain dengan entiti yang lebih dominan serta memiliki satu pengaruh bersifat menyeluruh,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Rozi memberitahu, penggunaan nama serta logo baharu itu diharap mampu membawa ‘tuah’ kepada pasukan untuk memberikan cabaran dalam saingan musim ini.
“Kita semua mahu melihat dan menyaksikan sebuah kelab dan pasukan dari negeri Cik Siti Wan Kembang memberi saingan serta cabaran hebat kepada kelab-kelab lain dalam Liga Malaysia (Liga-M) pada tahun ini,” ujarnya.-UTUSAN










