Kelantan pantau kegiatan Mawla Amin

Kelantan pantau kegiatan Mawla Amin

MAWLA MUHAMMAD AMIN AL-IDRISSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memantau kegiatan Mawla Amin atau nama sebenarnya Muhammad Mohamed Amin Ouradji yang mendakwa dirinya mempunyai jalur keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW walaupun individu berkenaan tidak berkunjung ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd. Asri Mat Daud berkata, sehingga kini pihaknya tidak mengesan
sebarang ‘gerakan’ berkait perkara berkenaan.

“Dalam isu nasab keturunan Nabi Muhammad kita tidak boleh terus terima dan tidak juga boleh terus menafikan. Ia perlu diselidik dengan teliti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu memberitahu, langkah pemantauan tetap perlu dibuat kerana kerajaan negeri mahu setiap yang memasuki Kelantan dapat menghormati undang-undang dalam negeri.

“Ia juga bersesuaian dengan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang menggesa kerajaan negeri terus memperkasa dan mempertahankan perundangan dan institusi syariah di negeri ini.

“Kita juga tidak mahu sebarang fahaman pelik atau bercanggah dengan syarikat Islam menular di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun memaklumkan, setakat ini tiada sebarang laporan mengenai pergerakan Mawla Amin di negeri ini.

Katanya, Polis Kelantan akan terus memantau dan membuat risikan.

“Kita akan terus membuat risikan dan setakat ini kita turut membantu kontinjen-kontinjen lain yang mempunyai laporan mengenai kes itu termasuk membuat rakaman percakapan dan siasatan.

“Di Kelantan tidak ada masalah berkaitan pergerakan Mawla Amin,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×