PONTIAN: Kehilangan Mohd. Iswadi Abd. Wahab, 33, sejak 19 Februari lalu terus menjadi tanda tanya apabila lelaki tersebut tidak dapat dihubungi kerana telah mematikan kedua-dua telefon bimbitnya.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, Mohd. Iswadi yang tiada mempunyai sebarang pekerjaan baru sahaja keluar dari penjara berkaitan kes dadah.
Katanya, dia (Mohd. Iswadi) merupakan seorang penagih dadah dan pernah ditangkap sebelum ini.
“Kami telah membuat rakaman percakapan dengan pengadu (isteri Mohd. Iswadi), selain berhubung dengan keluarga serta rakan-rakannya tetapi mereka tidak tahu di mana dia berada.
“Dipercayai dia masih berada di sekitar Johor, namun telefon bimbitnya telah dimatikan bagi mengelakkan orang mencarinya termasuk isteri dan ahli keluarga yang lain,” katanya ketika dihubung di sini.
Media sebelum ini melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang pada 19 Februari lalu dan sehingga kini masih tidak dapat dikesan.
Media sebelum ini melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang pada 19 Februari lalu dan sehingga kini masih tidak dapat dikesan.
Mohd. Iswadi beralamat di Kampung Maju Jaya, Pekan Nanas di sini.
Isteri Mohd. Iswadi tampil membuat laporan di Balai Polis Pekan Nanas mengenai kehilangan suaminya itu.
Tambah Mohammad Shofee, mengikut laporan yang dibuat, Mohd Iswadi mempunyai ketinggian 165 sentimeter dengan berat anggaran 59 kilogram dan berkulit hitam manis..
Menurutnya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi orang hilang tersebut boleh terus menghubungi Ketua Polis Balai Pekan Nanas, Asisten Superintenden Admi Zaiza Daud di talian 011-20516100. – UTUSAN










