PONTIAN: Seramai 159 penduduk daripada 46 keluarga masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya setakat pukul 8 pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya, Kampung Pak Khalib, Kampung Seri Menanti dan Kampung Maju Jaya.
Kejadian benteng atau ban pecah di Sungai Tanjung Air Hitam, Kulai baru-baru ini menyebabkan enam kampung sekitar Pekan Nanas dilanda banjir selepas hujan lebat awal pagi. Antara kampung yang terjejas termasuk Kampung Seri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Maju Jaya, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sepakat Jaya.
Banjir kilat berkenaan memaksa 107 penduduk daripada 33 keluarga dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.
Seorang ibu muda, Noratikah Hairolnizam, 24, berkata, beliau terpaksa membawa bayinya, Arif Hakimi Putera Amirul Haikal, berusia lima bulan, ke PPS seawal pukul 6 pagi selepas rumahnya dinaiki air sedalam satu meter.
“Alhamdulillah, kami sempat keluar menyelamatkan diri kerana rumah saya berhampiran Sungai Tanjung Air Hitam yang menerima aliran deras dari kawasan Gunung Pulai,” katanya yang bekerja sebagai penghantar barang di Kulai.
Ibunya, Noraini Abd. Aziz, 47, turut berpindah ke PPS selepas air naik dengan cepat dan membanjiri bahagian dapur serta tandas rumah mereka.
Semalam Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abdul Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor telah hadir menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS SK Melayu. – UTUSAN










