PETALING JAYA: Kerajaan sedang mengkaji sistem saraan penjawat awam yang lebih baik termasuk anggota polis yang meliputi struktur gaji, elaun dan kemudahan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kajian berkenaan merangkumi semua anggota di bawah Kementerian Dalam Negeri termasuk kajian Imbuhan Sara Hidup (COLA).
“Pada masa ini, (COLA) mengikut lokasi penempatan pegawai pada kadar RM200 hingga RM350 sebulan. Kerajaan sedar kadar ini rendah berbanding kos sara hidup yang tinggi terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
“Justeru, permohonan telah dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menilai aspek ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) berhubung sama ada KDN membuat kajian semula bagi menilai kadar COLA melibatkan anggota polis yang pada masa ini masih relevan atau sebaliknya.
Kata Shamsul Anuar, KDN sentiasa mengkaji dan anggota menerima Pergerakan Gaji Tahunan tertakluk kepada prestasi kerana gaji pokok diterima bukanlah satu amaun yang statik.
“Emolumen merangkumi gaji pokok, imbuhan tetap dan lain-lain elaun diberi berdasarkan penugasan, kepakaran serta risiko tugas yang jumlah keseluruhannya melebihi paras gaji minimum sebanyak RM1,500 yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Beliau memberikan contoh pegawai rendah polis berpangkat konstabel gred YA1 dengan emolumen seperti gaji pokok RM1,441, Imbuhan Tetap Perumahan RM300, Imbuhan Tetap Khidmat Awam RM115, COLA RM350 dan Bayaran Insentif Perkhidmatan Awam RM200.
“Jumlah gaji kasar ialah RM2,406 manakala Kadar Kenaikan Gaji Tahunan gred YA1 RM105. Jumlah gaji kasar tersebut tidak termasuk elaun mengikut bidang penugasan dan penempatan anggota berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai sama ada kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan kadar gaji baharu untuk anggota polis. – UTUSAN










