PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan membidas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil susulan kenyataan beliau berkenaan kad perakuan media bukan lesen menjadi wartawan.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa tindakan Fahmi seperti menghina pengamal media di dalam negara ini.
“Fahmi tidak perlu menjadi ‘terpaling wartawan’ dengan cuba mengajar pengamal media mengenai peranan mereka.
“Sebaliknya Fahmi perlu turun ke lapangan bertemu wartawan dan pengamal media lebih kerap, supaya dia sedar bahawa semakin ramai yang tidak senang dengan sikap kerajaan yang sering mengekang kebebasan media,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.
Terdahulu, media melaporkan, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kad perakuan media Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bukan lesen untuk menjadi wartawan tetapi ia merupakan medium pemudah cara bagi pengamal media membuat liputan terutama melibatkan program rasmi kerajaan.
Jelasnya, bidang kewartawanan bukan seperti bidang perundangan yang mempunyai Majlis Peguam, akauntan mempunyai Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun, arkitek melalui Lembaga Arkitek dan doktor ada pensijilan sendiri.
Mengulas lanjut, Wan Saiful mendakwa, beliau tidak melihat Fahmi membuat sesuatu untuk mempermudahkan wartawan melaksanakan tanggungjawab tetapi hanya menghadkan kebebasan media sahaja.
“Apa jaminan bahawa kerajaan tidak mengamalkan pilih kasih dalam pemberian kad perakuan wartawan? Rakyat semakin tidak yakin bahawa kerajaan ini bertindak adil kepada semua.
“Malahan Reporters Without Borders (RSF) juga telah menyatakan rasa ‘teramat risau’ mengenai sikap kerajaan apabila berdepan dengan isu-isi kewartawanan.
“Saya merasakan di bawah Fahmi, negara menyaksikan ‘pembunuhan’ perlahan-lahan segala reformasi berkaitan kebebasan media yang telah dilaksanakan oleh para pemimpin sebelum ini,” katanya.- UTUSAN











