JPJ bongkar taktik van Siam angkut pelancong Thailand tanpa lesen

JPJ bongkar taktik van Siam angkut pelancong Thailand tanpa lesen

LOKMAN Jamaan (tengah) menyoal siasat seorang pelancong dalam Ops Khas Van Putih JPJ dan Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) mengesan Ulat Pelancong di Stesen Penguatkuasa JPJ Jeli, Kelantan-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya membongkarkan taktik licik pemandu van Thailand membawa masuk pelancong dari negara berkenaan tanpa lesen yang sah selepas menahan kenderaan tersebut dalam Ops Khas Van Putih JPJ di Jeli dan Rantau Panjang di sini semalam.

Dalam operasi yang bermula pukul 4 petang hingga 7 malam itu, JPJ berjaya menahan 15 buah van Thailand.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia Datuk Lokman Jamaan berkata, hasil soal siasat mendapati modus operandi yang digunakan pemandu van berkenaan mengaku penumpang tersebut merupakan saudara-maranya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, soal siasat lanjut turut mendedahkan setiap penumpang dikenakan bayaran RM70 untuk mana-mana destinasi termasuk Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu.

“Pada masa sama, pemandu van dikesan menyalahgunakan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) dengan membawa pelancong menggunakan kenderaan milik persendirian.

“Kesemua pemandu van ini akan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) iaitu menjalankan atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan perniagaan kenderaan pelancongan tanpa lesen yang sah,” katanya kepada pemberita selepas Ops Khas Van Putih JPJ di Stesen Penguatkuasa JPJ Jeli di sini malam tadi.

Lokman memberitahu, kejayaan itu hasil maklumat risikan selama tiga hari yang dilakukan oleh JPJ di sekitar daerah Jeli dan Rantau Panjang selepas menerima aduan daripada orang awam.

Katanya, operasi tersebut turut mendapat kerjasama dari Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam mengesan ulat pelancong.

“Tindakan ulat pelancong ini boleh menjejaskan industri pelancongan negara dan menjejaskan pengusaha teksi dan pengangkutan awam di negara ini.

“Selain itu, JPJ turut menahan 15 kenderaan lain yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya