Jika ada tangkapan, menunjukkan nasihat, kempen tak sampai - Mohd. Fared - Utusan Malaysia

Jika ada tangkapan, menunjukkan nasihat, kempen tak sampai – Mohd. Fared

MOHD. FARED Mohd. Khalid (dua dari kiri) turut menyertai Kempen Semarak Ramadan bagi menerangkan peraturan dan adab yang perlu dipatuhi oleh para peniaga sepanjang bulan Ramadan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berharap tiada umat Islam yang ditahan atas kesalahan tidak berpuasa sepanjang operasi penguatkuasaan dijalankan pada bulan Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, ini kerana pihaknya telah menjalankan Kempen Semarak Ramadan membabitkan peniaga kecil di seluruh negeri supaya tidak beroperasi terlalu awal.

Katanya, jika ada tangkapan dibuat, itu antara lain menunjukkan nasihat dan kempen dijalankan tidak sampai kepada golongan sasar.

“Pada tahun lepas, saya sendiri menahan lima orang dalam kedai kerana membeli makanan terlalu awal pada pukul 11 pagi, ada yang beli teh tarik bungkus ikat tepi, mustahil teh tarik sampai ke petang. Kita percaya sebahagian orang mungkin tak perasan, atau pun mereka tersilap, mudah-mudahan mereka tidak akan mengulangi lagi pada tahun ini,” katanya, di sini.

Mohd. Fared berharap supaya umat Islam di negeri ini dapat menjaga kemuliaan bulan Ramadan dan tidak dicemari dengan perbuatan dan tingkah laku yang sia-sia.

Katanya, JAINJ akan menggunakan semua kenderaan milik jabatan termasuk menggunakan van jenazah semasa operasi dan pemantauan dijalankan.

Katanya, sebelum tiba bulan puasa pihak penguat kuasa dengan kerjasama Pejabat Kadi Daerah telah turun ke lapangan berjumpa dengan para peniaga kecil, gerai dan restoran bagi mengedarkan risalah tentang peraturan dan adab perniagaan semasa bulan Ramadan.

“Kita juga telah maklumkan tindakan bakal dikenakan bagi mereka yang ingkar peraturan ini, terutamanya mereka yang mungkin dengan sengaja tak mematuhi peraturan termasuk makan atau minum serta merokok di khalayak ramai.

“Hasrat kita supaya tiada kes tangkapan pada 2024. Jika ada tangkapan juga, kita kena rasa malu sebab nampaknya nasihat kita tu belum semua pihak dapat patuhi, jadi saya berharap janganlah ada tangkapan,” katanya.

JAINJ juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan peniaga di seluruh daerah mematuhi peraturan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN