JBPM Pahang beku cuti lebih 700 anggota, siap siaga kecemasan sempena Aidilfitri - Utusan Malaysia

JBPM Pahang beku cuti lebih 700 anggota, siap siaga kecemasan sempena Aidilfitri

WAN MOHAMMAD ZAIDI Wan Isa (tengah) bersama anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) selepas Taklimat Berkaitan Response Time Zon 2 Pahang di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang membekukan cuti 700 pegawai dan anggotanya bagi siap siaga sepenuhnya menghadapi sebarang kecemasan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kesemua mereka antara 966 pegawai dan anggota yang diarahkan bertugas pada musim Hari Raya Aidilfitri kali ini di semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri.

Katanya, cuti anggota dan pegawai JBPM Pahang dibekukan bermula minggu hadapan dan hanya 30 peratus dibenarkan bercuti atas ihsan pegawai atasan.

“Cuti dibekukan bagi memastikan kelancaran dan kecekapan tugasan serta anggota cukup untuk bertindak dengan efisien jika berlaku apa-apa kemungkinan semasa kecemasan kemalangan dan kebakaran,” katanya kepada pemberita pada majlis penutup Taklimat berkaitan Response Time Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Zon 2 Pahang 2024 di JBPM Bukit Angin di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohammad Zaidi berkata, pihaknya juga akan turut menggunakan perkhidmatan 32 pasukan bomba sukarela (PBS) di seluruh negeri ini.

“Mereka turut berperanan sebagai pemantau kebakaran di kawasan terbuka dan di tanah gambut pada musim kemarau ini.

“Jadi, kekuatan anggota pasukan bomba Pahang sempena Aidilfitri ini adalah melebihi 1,000 orang yang sentiasa bersiap siaga turun ke lokasi dengan semangat jitu tanpa mengira waktu,” katanya.

Menurutnya, kenderaan dijangka bertambah berkali ganda memasuki Pahang menjelang Aidilfitri ini dan pihak bomba akan membuat rondaan di beberapa lokasi panas yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan seperti di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Jalan Persekutuan dan Negeri.

“Anggota yang bertugas akan membuat rondaan sekerap mungkin di sepanjang laluan ini terutama tiga lokasi panas di Genting Sempah, Temerloh dan Gambang supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohamad Zaidi turut memaklumkan taklimat kepada PBS juga sudah dilakukan sebagai persediaan menghadapi peralihan Monsun Timur Laut (MTL) kepada fenomena El Nino yang membawa cuaca panas dan kering.

“Sekarang pun cuaca agak panas dan kita sudah memaklumkan kepada semua anggota bomba sukarela supaya bersedia jika berlaku kebakaran luar jangka seperti kebakaran hutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN