KUALA LUMPUR: Tindakan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menahan pasangan selebriti atas tuduhan khalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara, baru-baru ini bukan gimik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebaliknya serbuan itu dilakukan selepas menerima laporan daripada pihak ketiga.
“Sekiranya siasatan didapati ada kelakuan maksiat berlaku, saya nak tekankan di sini, pihak Jawi tiada melakukan sebarang kompromi semata-mata untuk melakukan promosi bersama selebriti atau sebagainya.
“Ia dilakukan mengikut prosedur undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2024 di sini.
Baru-baru ini, seorang pelakon berstatus suami orang dan seorang pelakon wanita ditahan Jawi dipercayai berkhalwat di sebuah kondominium mewah di ibu kota pada malam Jumaat lalu.
Bagaimanapun, ada netizen mendakwa ia hanyalah gimik berikutan kedua-dua pelakon itu dilaporkan sedang menjalani penggambaran di situ. – UTUSAN











