PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua pihak berhenti mengambil kesempatan dalam isu membabitkan stoking tertera kalimah Allah selepas kes tersebut kini sedang melalui proses perundangan.
Baginda mengingatkan agar tidak ada pihak yang mengapi-apikan kemarahan secara berterusan dalam isu melibatkan pasar raya KK Mart itu.
“Saya telah menitahkan untuk tindakan diambil mengikut lunas undang-undang, maka tidak perlu lagi mana-mana pihak terus mengapi-apikan kemarahan secara berterusan.
“Kemarahan yang berlarutan tidak akan menguntungkan sesiapa. Semua pihak, terutamanya pemimpin masyarakat perlu bertindak matang.
“Tindakan diambil bukanlah untuk menghukum semata-mata, tetapi sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua untuk menjaga sensitiviti rakyat Malaysia,” titahnya yang dikongsikan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Dalam isu sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras kepada semua pihak, termasuk ahli politik supaya berhenti memanaskan isu kaum, agama dan raja (3R), khususnya melibatkan isu terbaharu penjualan stoking tertera kalimah Allah di cawangan KK Mart.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, beliau bersetuju dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyarankan semua pihak supaya stand down (kembali bertenang) memandangkan tindakan undang-undang berhubung isu itu sedang berjalan.
“Memandangkan isu 3R kes semakin panas, pertama sekali, apa juga laporan berkaitan isu perkauman kita akan buka dan siasat. Tidak kisah ia dibuat pihak kerajaan atau pihak lain.
“Kita sangat konsisten dalam membuka kertas siasatan ke atas ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang. Kita siasat semua. Saya ingin nasihati semua pihak supaya stand down dan setuju dengan apa yang saudara Khairy kupas dalam podcast. Kami bimbang ia menjadi pemangkin kepada isu perkauman seperti insiden Kampung Medan.
“Ia hanya memburukkan imej negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman semalam.
Shuhaily berkata, pihaknya sedang mendapatkan lagi maklumat risikan dan sama ada masih terdapat gerakan memburukkan lagi keadaan melibatkan isu 3R.
“Biarkan sistem keadilan kita berfungsi, biar ia melalui proses perundangan. Itu menunjukkan kematangan rakyat kita, kematangan kita menangani masalah sensitif dalam negara ini.
“Kalau dulu kita ada preventive law dan ia dimansuhkan kerana dikatakan kematangan masyarakat dalam membincangkan isu sensitif seperti ini, hari ini kita diuji kematangan kita menangani masalah sedemikian,” jelas beliau.
Sehingga kini, katanya, 10 laporan polis diterima membabitkan isu stoking kalimah Allah.
Beliau turut mengingatkan semua pihak tidak mengambil tindakan sendiri yang melangkaui pihak berkuasa.
“Sabarlah kami akan selesaikan semua, jangan simbah minyak dalam api,” tegas Shuhaily.
Berikutan isu stoking bercetak kalimah Allah beberapa kes melibatkan ugutan bunuh dan tindakan membaling bom petrol turut dilaporkan.
Terkini, polis menahan seorang lelaki warga emas yang disyaki membuat ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkaitan isu kalimah Allah pada stoking, semalam
Kelmarin, sebuah kedai KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dilempar objek dipercayai bom petrol oleh dua individu tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta.
Minggu lalu, rumah ibu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Ayer Tawar dihujani nota berbaur ugutan oleh pihak yang tidak dikenali.
Dalam kejadian itu, nota ugutan tersebut ditulis dengan tulisan ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam’ dan ia dipercayai dilakukan pihak yang mempunyai niat tidak baik.
Sementara itu, notis merah gagal dikeluarkan terhadap pemilik Facebook, Ganesparan Nadaraja ekoran kesalahan membabitkan isu agama dan perkauman tidak tersenarai dalam Artikel 3, Polis Antarabangsa (Interpol).
Mohd. Shuhaily berkata, PDRM sebelum ini pernah membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap lelaki tersebut.
“Bagaimanapun, kesalahan yang dilakukannya berkaitan agama dan perkauman tidak diletakkan dalam Artikel 3, Interpol.
“Justeru, kita mengambil tindakan lanjut dengan meminta Jabatan Imigresen Malaysia untuk membatalkan pasport milik Ganesparan pada November 2020,” katanya.
Mohd. Shuhaily berkata, Ganesparan tidak pernah pulang ke Malaysia sejak dikesan meninggalkan negara pada 2017.
Jelasnya, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka terhadap lelaki warga tempatan itu berkaitan kesalahan 3R dari 2017 hingga tahun ini.
“Ganesparan juga pernah didakwa secara in absentia pada 2022 kerana menghina bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” jelasnya. –UTUSAN










