Ibu tunggal lega dua anak terima bantuan persiapan raya - Utusan Malaysia

Ibu tunggal lega dua anak terima bantuan persiapan raya

SAIFUL Yazan Sulaiman (tengah) bergambar bersama murid dan pelajar yang menerima bantuan sempena program Semarak Aidilfitri Program Baju Raya De' Johol, di Tampin hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang ibu tunggal lega apabila dua anaknya menerima bantuan persiapan Aidilfitri selepas suaminya meninggal dunia dua tahun lalu.

Sabrina Mad Din, 43, berkata, bantuan yang diterima sudah tentu mengembirakan kerana dia sekeluarga hanya membuat persiapan sambutan raya secara ala kadar sahaja sebelum ini apatah lagi dia hanya bekerja sebagai pembantu di kantin sekolah

Malah menurutnya, bantuan yang diberikan tahun ini ini juga meringankan bebannya yang baharu sahaja mendaftarkan anak perempuan keduanya di tingkatan satu sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) baru-baru ini.

“Sebelum ini, mahu dikatakan persiapan itu lengkap tidak ada lah, cukup ada sepasang baju baharu untuk anak sahaja, selepas kematian suami, anak-anak saya terpilih menerima bantuan yang diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman.

“Tahun ini dua anak saya berusia 15 tahun dan tujuh tahun dapat membeli lebih daripada sehelai baju lengkap dengan kasut atau selipar pilihan yang bernilai RM200 setiap seorang,” katanya ketika ditemui sempena program Semarak Aidilfitri Program Baju Raya De’ Johol, di sini, hari ini.

Sementara itu, Saiful Yazan berkata, program berkenaan sudah masuk tahun kelima penganjurannya dan kali ini mencatatkan penerima teramai iaitu 110 orang terdiri daripada golongan asnaf serta keluarga kurang berkemampuan.

Menurutnya, senarai nama penerima adalah terdiri daripada murid serta pelajar yang telah disyorkan oleh sekolah-sekolah yang terdapat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol.

“Tujuan kami adalah untuk menyantuni anak-anak ini bagi menyambut perayaan dengan gembira. Kami beri peluang mereka bebas memilih sendiri jenis pakaian dan barangan yang diingini sempena sambutan hari raya ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×