LUMUT: Ibu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, membuat laporan polis selepas menemui berpuluh kertas berunsur ugutan di hadapan rumahnya di Ayer Tawar, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata, ibu Kor Ming yang berusia 76 tahun yang juga seorang pesara membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 10.15 pagi.
“Dalam laporan itu, wanita tersebut memberitahu kira-kira pukul 7.30 pagi ketika mahu keluar dari rumah menemui banyak kertas bertaburan di hadapan rumahnya.
“Pada kertas itu terdapat ayat bertulis ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam’ dan pengadu percaya perkataan tersebut mempunyai niat tidak baik,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui komunikasi tanpa nama, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Jelasnya, punca kejadian masih belum diketahui dan usaha mengesan individu terlibat masih diteruskan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kes tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fariq Nazmi Mohd. Mustafa di talian 013-3317099 bagi membantu siasatan polis.
Sementara itu, ibu Kor Ming, ketika ditemui memberitahu pada mulanya beliau menyangka kertas bersaiz A4 yang banyak bertaburan itu dilakukan ‘along’ tetapi apabila diteliti terdapat tulisan dalam dakwat merah berbaur ugutan.
Beliau kemudian menghubungi Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan seorang Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebelum membuat laporan polis.
Jelasnya, ia bukanlah kejadian kali pertama kerana sebelum ini pernah menerima ugutan dalam bentuk anak peluru ke rumahnya.
Sementara itu, DAP Perak dalam kenyataannya mengutuk tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu yang secara jelas melanggar undang-undang, serta bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat yang beradab.
“Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dan menangani kes-kes yang berbentuk ugutan tersebut.
“Pihak DAP yang menyanjung kedaulatan undang-undang berpandangan setiap individu mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyuarakan pendapat masing-masing tanpa perlu bimbang akan diugut atau diserang secara fizikal,” ujarnya.











