Hukuman pesalah ajaran sesat lebih berat - Utusan Malaysia

Hukuman pesalah ajaran sesat lebih berat

MOHD Na’im Mokhtar bersalam dengan kakitangan Media Mulia pada agihan pek Ramadan di pejabat Media Mulia, Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pesalah berkaitan ajaran sesat seperti menyebar dan menganggotainya akan berhadapan hukuman lebih berat di bawah pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Ketika ini, kesalahan ajaran sesat hanya dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 12 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, undang-undang berkaitan ajaran sesat diakui longgar sehingga masih banyak pihak mengambil kesempatan menyebarkan fahaman songsang kepada orang ramai.

Menurut beliau, menyedari isu itu, kerajaan sedang berusaha meminda Akta 355 bagi meningkatkan had hukuman di mahkamah syariah bagi kesemua kesalahan jenayah yang setakat ini menetapkan penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan sebatan enam kali.

“Undang-undang ini dipinda hanya pada 1984, jadi sudah 40 tahun Akta 365 ini tidak dipinda. Ini komitmen kerajaan Madani untuk pastikan akta ini dipinda supaya hukuman penjara dan denda lebih tinggi.

“Walaupun ini merupakan akta Parlimen tetapi pelaksanaan adalah negeri-negeri, mereka akan laksanakan mengikut bidang kuasa Mahkamah Syariah masing-masing. Oleh itu, sesi libat urus sedang dijalankan bersama-sama negeri-negeri terlibat,” kata beliau selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Media Mulia, di sini semalam.

Mohd. Na’im mengulas demikian berhubung hukuman kesalahan ajaran sesat yang dilihat sangat ringan sekali gus membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk menyebarkan fahaman bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebelum ini, timbul dakwaan kononnya percubaan untuk menghidupkan semula ajaran sesat ‘Ayah Pin’ atau ‘Kerajaan Langit’ di Besut sehingga sekali menimbulkan kebimbangan umat Islam di Terengganu.

Ditanya bilakah pindaan Akta 355 boleh dilakukan, Mohd. Na’im berkata, pihaknya menjangkakan pada tahun ini tetapi bergantung kepada proses libat urus bersama negeri-negeri yang sedang dilaksanakan.

LIBAT URUS

“Selepas sesi libat urus dengan negeri, kita akan bawa ke Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), kemudian ke Majlis Raja-Raja untuk perkenan.

“Seterusnya dibawa dalam Jemaah Menteri menerusi kertas dasar dan kemudiannya ke Parlimen. Kita harap tahun ini, kalau tidak tahun depan, kerana bergantung kepada sesi libat urus kerana melibatkan MKI,” katanya.

Menyentuh usaha menghidupkan semula ‘Ayah Pin’, Mohd. Na’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk menyiasat sejauh sama dakwaan tersebut.

Namun beliau menegaskan pihak berkuasa agama akan memastikan ajaran itu tidak dihidupkan semula.

“Saya nasihat masyarakat khususnya di Terengganu untuk berhati-hati sebab ini isu akidah iaitu soal besar, masyarakat Islam khususnya kena merujuk pihak berwajib Jabatan Mufti untuk mendapatkan maklumat sejauh mana ajaran itu benar atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Na’im berkata, kumpulan ajaran sesat ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya atau Ahmadi didapati membuat akaun media sosial yang baharu selepas beberapa akaunnya ditutup oleh pihak pengendali.

Katanya, Jakim bersama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini bekerjasama rapat untuk memantau pergerakan kumpulan itu khususnya dalam talian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN