PETALING JAYA: Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan tempat di sembilan negeri sehingga pukul 7 malam ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), ia membabitkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah (Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu); Pulau Pinang; Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak).
“Selain itu di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang); Putrajaya; Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin) dan Johor (Muar, Batu Pahat dan Pontian).
“Seterusnya di Sarawak: Sibu (Selangau), Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang (Limbang) serta di Sabah: Pedalaman (Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar) dan Sandakan (Tongod),” menurut hantaran di laman sosial, hari ini.
Tambah Met Malaysia, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya. – UTUSAN









