Hotel Seri Malaysia berusaha martabatkan bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Hotel Seri Malaysia berusaha martabatkan bahasa Melayu

ZAHARUDIN Othman (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Rahimi Ariffin (kanan) sambil diperhatikan Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Sahabudin selepas Forum Bahasa Melayu dan Nilai Komersial di Seremban UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd. (RHSM) akan memanfaatkan semua hotel miliknya di seluruh negara sebagai platform utama mempromosi dan memartabatkan bahasa Melayu.

Pengerusi RHSM, Dr. Zaharudin Othman berkata, beberapa siri program telah diatur untuk dilaksanakan di semua 20 hotel miliknya dalam usaha meningkatkan kecintaan rakyat dan minat dalam kalangan pelancong asing terhadap bahasa Melayu.

Beliau berkata, antara program itu adalah pertandingan berbalas pantun secara kecerdasan buatan (AI) dan forum yang turut disertai oleh kakitangan rangkaian hotel berkenaan.

“Kami juga merancang mempamerkan istilah bahasa Melayu di lokasi utama premis rangkaian hotel kami untuk difahami dan dihayati para penginap dan pelawat.

“Kami juga mahu menjadi sektor perkhidmatan dan pelancongan yang komited mengangkat martabat bahasa Melayu di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas Forum Bahasa Melayu dan Nilai Komersial di sini.

Forum itu dianjurkan RHSM bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif RHSM, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Sahabudin dan Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, Rahimi Ariffin.

Pengacara, personaliti televisyen dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Roziah Md. Yunus turut mengambil bahagian dalam forum berkenaan sebagai ahli panel.

Zaharudin dalam pada itu menarik perhatian, RHSM sentiasa memberi perhatian terhadap kedudukan bahasa Melayu dalam sektor yang disertainya dan merancang menambah baik bahasa kebangsaan itu melalui program dan tindakan secara berterusan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN