PETALING JAYA: Harga getah yang tidak seimbang antara faktor 420,000 hektar kebun getah tidak diusahakan selain masalah tiada penoreh.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib berkata, ketidakseimbangan harga itu menyebabkan pekebun kecil mula kekurangan minat untuk menoreh getah.
Menurutnya, jika ia berterusan, jumlah ses yang dikutip akan berkurangan serta menjadikan industri huluan getah tidak relevan.
“Mereka juga kekurangan pekerja-pekerja untuk bekerja di kebun-kebun getah bagi mengeluarkan hasil sama ada skrap ataupun lateks,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pada 5 Januari lalu, akhbar ini melaporkan kira-kira 420,000 hektar kebun getah di seluruh negara terbiar tidak ditoreh kerana ketiadaan pekerja asing dengan anggaran diperlukan adalah 80,000 orang.
Mengulas lanjut, Manndzri berkata, pihaknya telah menyediakan satu dasar dan garis panduan iaitu Model Pengeluaran Getah Negara (Petara) bagi memastikan kebun terbiar diusahakan semula.
Katanya, perancangan sehingga tahun 2030 menyasarkan 90,000 hektar mengikut Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) Tanaman Getah.
“Bagi tahun 2024, Petara akan dilaksanakan untuk sekurang-kurangnya 12,000 hektar pertama yang ekonomik. Baki selanjutnya akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke -14,” katanya. – UTUSAN










