PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melaraskan Harga Beras Putih Import (BPI) dengan menurunkan harga jualan runcit di antara RM2 hingga RM3 di pasaran bagi pek 10 kilogram berkuat kuasa hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) semalam bagi meningkatkan akses rakyat kepada bekalan beras pada harga yang munasabah.
Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.
Langkah itu untuk meningkatkan pengedaran beras putih tempatan (BPT) bagi menangani isu kekurangan bekalan di pasaran susulan pelarasan harga BPI oleh BERNAS pada 1 September 2023.
“Justeru, kementerian akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara.
“Dalam meluaskan jaringan pengedaran beras putih tempatan, aktiviti Jualan Agro Madani yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan
Peladang (LPP) akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program,” katanya di sini, semalam.
Pada masa sama, Mohamad berkata, kerajaan turut bersetuju agar semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI.
Sehubungan itu, melalui kaedah ini, bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April depan.
“Kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutamanya semasa bulan Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang.
“Kesemua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran,” katanya.
Dalam pada itu, menurut beliau, kementeriannya juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.
Ini bagi memastikan industri padi dan beras adalah mampan terutamanya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan Madani dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara,” katanya. – UTUSAN










