KUALA LUMPUR: Gaji graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dicadangkan sekurang-kurangnya RM4,000 bagi menggalakkan pelajar memilih bidang itu dalam meneruskan pengajian mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu, TVET tidak akan dimulakan selepas tingkatan lima tetapi selepas tingkatan tiga di mana kolej vokasional, teknikal dan sebagainya akan menjadi pembekal kepada institusi TVET.
Kata beliau, dengan itu, pelajar TVET dapat menamatkan peringkat diploma dan ijazah dua tahun lebih awal daripada rakan-rakan mereka yang lain.
“Ini merupakan satu penggalakan yang dilakukan kerajaan termasuk saranan agar gaji bukan berdasarkan kepada gaji minimum, tetapi satu tahap lebih tinggi,,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung penekanan khusus diberi kepada dasar TVET serta garis masa pelaksanaannya dan sejauh mana fungsi Majlis TVET negara akan diperkasa sebagai badan pemutus dasar.
Selain itu, Halimah juga bertanya sama ada pihak kerajaan juga mengkaji dan merancang untuk mewujudkan akta gaji khusus untuk TVET berdasarkan kelayakan individu supaya diberikan pengiktirafan setanding dengan kelayakan lain.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan melancarkan Dasar TVET pada 2 Jun tahun ini.
“Di samping itu, kita juga juga mewujudkan hanya sebuah sahaja pusat pengiktirafan kepada TVET supaya tidak timbul kekeliruan dan caca marba dari segi pengiktirafan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Perpaduan amat komited dalam memperkasakan hala tuju TVET bagi menghasilkan lebih ramai golongan profesional.
Menurutnya, kerajaan amat menggalakan penglibatan industri dalam usaha menghadapi perkembangan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0. – UTUSAN










