KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mahu Kerajaan Persekutuan memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini sebagaimana yang pernah dilakukan pada Jun 1988 lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd. Asri Mat Daud berkata, pada tahun itu pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan melibatkan Perkara 121 (1A) telah dilaksanakan sekali gus memberikan nafas baharu kepada Mahkamah Syariah.
“Melalui pindaan itu, Mahkamah Syariah boleh laksanakan apa sahaja undang-undang atau peraturan di bawah bidang kuasanya yang tiada dalam Persekutuan. Jadi melalui pindaan itu, barulah kita dapat melaksanakannya dengan baik dan menetapkan hukuman-hukuman yang telah ada dalam syarak.
“Jadi saya harap pihak legislatif perlu memberi ruang kepada proses pindaan tersebut dilakukan selepas ini,” katanya semasa menjawab soalan Dr. Hafidzah Mustakim (Kota Lama-PH) pada persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu memberitahu, kerajaan negeri kesal dan sedih tindakan seorang muslim yang telah membuat cabaran terhadap seksyen-seksyen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang sudah baik dan bincang serta diluluskan oleh DUN Kelantan.
Katanya, undang-undang tersebut yang sudah dilaksanakan selama setahun itu sudah mendapat perkenanan dari Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
“Kita belum cakap soal hukum hudud, qisas yang mana enakmen (Kanun Jenayah Syariah Kelantan) sudah lengkap di Kelantan dan dilaksanakan. Bagaimanapun terbatal disebabkan cabaran oleh mereka yang tiada ‘Locus Standi’.
“Ini satu perkara yang menyedihkan untuk kita hari ini,” ujarnya.-UTUSAN