KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan usul penggubalan semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang terbatal dan tidak sah sebagaimana telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu.
Usul yang dibacakan oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah itu dipersetujui sebulat suara tanpa bahas.
Mohd. Amar ketika membacakan usul itu berkata, DUN Kelantan yang bersidang hari ini turut merakamkan kekesalan dan berdukacita di atas pembatalan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Katanya, DUN Kelantan turut menggesa penggubalan semula peruntukan-peruntukan yang dibatalkan tersebut.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan sebentar tadi mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.
Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 bagaimanapun memutuskan dua peruntukan iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30, sah.
Seksyen 13 menyatakan kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 ialah melibatkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.
Panel itu membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 18 peruntukan tersebut.
Mahkamah tertinggi negara turut memutuskan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal peruntukan yang diperikaikan itu kerana ia merupakan bidang kuasa Parlimen.
Hakim Tengku Maimun ketika membacakan keputusan itu berkata, badan berkenaan melangkaui kuasa Parlimen ketika menggubal 16 peruntukan tersebut.-UTUSAN










