DUN Kelantan: Elak guna ayat sinis bincang isu undang-undang syariah

DUN Kelantan: Elak guna ayat sinis bincang isu undang-undang syariah

MOHD. SYAHBUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ketua Pembangkang Mohd. Syahbuddin Hashim meminta supaya kata-kata sinis semasa perbahasan perkara berkaitan Enakmen Jenayah Syariah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dihentikan.

Beliau mendakwa, terdapat beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan telah melemparkan kata-kata sinis rakannya dari Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim semasa isu berkaitan cabaran dan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Enakmen Jenayah Syariah (1) Kelantan dibangkitkan.

“Sebenarnya tidak timbul isu sokongan terhadap Enakmen Jenayah Syariah ini kerana kita di pihak Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) sentiasa bersama menyokong apa sahaja perkara yang melibatkan pemerkasaan undang-undang Syariah di Kelantan.

“Justeru saya berharap kata-kata sinis sebagaimana dilemparkan oleh dua atau tiga ADUN tadi dihentikan. Sebab itu saya minta mereka bertenang dan lihat kembali sejarah sokongan ADUN BN terhadap Enakmen Jenayah Syariah,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas itu memberitahu, beliau turut membangkitkan kronologi Enakmen Jenayah Syariah Kelantan bermula tahun 1985 pada sesi perbahasan titah diraja bagi menampakkan sokongan BN terhadap undang-undang berkenaan.

“Pada 1986 Enakmen Jenayah Syariah Kelantan telah dibawa oleh ADUN BN yang mana kerajaan negeri pada ketika itu dipimpin oleh BN. Pada 1993 Pas sebagai kerajaan negeri membawa Enakmen Jenayah Syariah (2) Kelantan dan turut disokong oleh BN yang hanya ada dua kerusi pada ketika itu.

“Kemudian pada 2015 Enakmen Jenayah Syariah (2) Kelantan yang pada ketika itu telah diluluskan tetapi tidak diwartakan dibawa sekali lagi ke sidang DUN dan 12 ADUN BN pada ketika itu turut memberikan sokongan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Hafidzah menegaskan bahawa isu Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dibangkitkan semata-mata untuk memperjuangkan kompitensi DUN Kelantan sebagai badang penggubal undang-undang di negeri ini.

“Perlu ditekankan bahawa kita bukan menentang perjuangan Islam dan tidak menyokong sesiapa secara membabi-buta termasuk dalam kes Nik Elin. Isu sebenarnya adalah kenapa dibiarkan kompitensi DUN Kelantan dipersoal dan dicabar.

“Bukankah lebih baik kita ambil sikap seperti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyarankan agar keputusan Mahkamah Persekutuan dilihat semula supaya Enakmen Jenayah Syariah di negeri itu dapat ditambah baik,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN