SEREMBAN: Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang pelatih lelaki di sebuah pusat pemulihan dadah di Lenggeng di sini pada minggu lalu.
Kedua-dua mereka yang merupakan penyelia dan pembantu pusat pemulihan dadah berkenaan, iaitu M. Jason Jai Ganesh, 48, dan Kelvin Raymond, 26, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama-sama dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang lelaki berusia 38 tahun menggunakan senjata sebatan paip PVC (polivinil klorida)
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat pengurusan pusat pemulihan di Lenggeng, Nilai lebih kurang pukul 11 pagi pada 19 Mac lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan manakala tertuduh diwakili peguam, Patrick Samuel.
Terdahulu, Patrick dalam permohonannya yang pertama memohon mahkamah agar membenarkan kedua anak guamnya menjalani pemeriksaan psikiatri dan ditahan sebagai tahanan psikiatri.
“Saya percaya untuk kes ini kecederaan dilakukan anak guam ke atas mangsa adalah brutal jadi saya percaya kedua-dua anak guam mempunyai masalah psikiatri.
“Sementara, permohonan kedua, saya juga ingin memohon mahkamah mengeluarkan perintah menghalang media daripada melaporkan kes ini. Ini kerana dengan liputan diberikan ia akan mencemarkan nama insitusi pemulihan dadah tersebut kerana kejadian ini merupakan kejadian kali pertama berlaku,”katanya.
Bagaimanapun, Noor Syafina menyerahkan kepada budi baik mahkamah kerana permohonan (menjalani pemeriksaan psikiatri) daripada peguam tertuduh tidak pernah dibangkitkan sebelum ini.
Setelah mendengar permohonan dari peguam bela dan pendakwa raya, Meor Sulaiman kemudiannya menolak permohonan mengeluarkan perintah menghalang media daripada melaporkan kes berkenaan.
Kes disebut semula pada 30 April ini bagi jatuh hukum.-UTUSAN.










