KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan prestasi kukuh dengan mengumumkan agihan dividen 2023 sebanyak 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah.
Agihan dividen itu lebih tinggi berbanding 2022 sebanyak 5.35 untuk Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus bagi Simpanan Shariah.
Agihan dividen itu juga menepati sasaran majoriti penganalisis ekonomi yang menjangkakan dividen 2023 KWSP lebih tinggi berbanding 2022 antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, dividen itu melibatkan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM7.48 bilion bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan pendapatan
sebanyak RM57.81 bilion.
Menurutnya, untuk tahun berakhir 31 Disember 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022 selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas
ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut.
“Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan, RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen. Adalah menjadi amalan berhemat KWSP membayar dividen hanya daripada pendapatan yang direalisasikan,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman prestasi kewangan dan dividen 2023 KWSP di sini, semalam.
Ahmad Zulqarnain memberitahu, aset pelaburan KWSP terus mencatat pertumbuhan kukuh tahun lalu sebanyak RM1,135.82 bilion (RM1.13 trilion), naik 13 peratus berbanding RM1,002.67 bilion pada 2022.
Peningkatan itu katanya, merangkumi pendapatan yang dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah RM97.56 bilion, naik 15 peratus berbanding RM84.78 bilion pada 2022.
Jelasnya, KWSP berupaya memberikan hasil dividen yang lebih baik berikutan prestasi berdaya tahan pada 2023 walaupun berhadapan dengan ketegangan geopolitik, peningkatan kadar faedah, inflasi, konflik rantau serta masalah sektor hartanah China.
“Selepas mengambil kira kadar inflasi, dividen sebenar bagi Simpanan Konvensional ialah 2.89 peratus dan 2.51 peratus untuk Simpanan Shariah pada asas tiga tahun (2021-2023) melebihi sasaran strategik KWSP, iaitu sekurang-kurangnya dua peratus dividen sebenar dalam tempoh sama,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, KWSP kekal pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM702.48 bilion pada Disember 2023, berbanding RM643.38 bilion pada 2022.
Beliau menambah, pelaburan dalam pasaran domestik adalah melebihi 80 peratus daripada peruntukan pelaburannya bagi 2023.
Katanya, sehingga Disember 2023, KWSP memegang lebih kurang 28 peratus daripada lebihan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan lebih kurang 12 peratus daripada permodalan pasaran Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia.
“Penyertaan KWSP di Bursa Malaysia dari segi nilai yang didagangkan ialah 23 peratus untuk saham FBM100, dan 31 peratus untuk saham FBMKLCI.
“Penyertaan ini termasuk dagangan oleh pengurus dana luar domestik yang telah menerima lebih RM4 bilion suntikan untuk portfolio ekuiti domestik sejak lima tahun lalu.
“Jumlah suntikan lebih RM3 bilion kepada pengurus pendapatan tetap luaran telah menjadikan jumlah suntikan kepada pengurus dana Malaysia kepada lebih RM7 bilion. Suntikan ini adalah sebahagian daripada usaha diversifikasi jangka panjang KWSP serta untuk merangsang pasaran modal domestik dan industri pengurusan aset,” katanya.
Ahmad Zulqarnain turut memberitahu, caruman KWSP tahun lalu naik 15 peratus kepada RM97.6 bilion daripada tahun sebelumnya dengan jumlah keahlian sebanyak 16.07 juta ahli di mana 460,447 adalah ahli baharu.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 8.52 juta adalah ahli aktif yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.03 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2023.
“Pangkalan ahli aktif KWSP kekal konsisten pada 53:47 peratus daripada nisbah ahli aktif kepada tidak aktif pada Disember 2023 yang diperoleh daripada nisbah ahli aktif sebanyak 8.52 juta berbanding jumlah ahli pada 16.07 juta.
“Peningkatan positif dalam jumlah ahli aktif KWSP berbanding jumlah tenaga buruh Malaysia adalah hasil daripada inisiatif pelebaran liputan KWSP,” ujarnya.
KWSP merekodkan pendaftaran majikan baharu sebanyak 82,005 pada akhir 2023, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 606,187. – UTUSAN









