Buluh madu: Rebung dimasak, batang kraftangan - Utusan Malaysia

Buluh madu: Rebung dimasak, batang kraftangan

MOHD Qasidinoor Mohd Asri menunjukkan tanaman buluh madu yang diusahakan bersama rakannya di Kampung Batu Empat, Slim River, Tanjung Malim. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Manfaat pokok buluh madu bukan sahaja menerusi rebungnya tetapi bulunya boleh dimanfaatkan kepada pengusaha kraftangan, arang atau perabot.

Dua belia, Mohd Qasidinoor Mohd Asri, 39, dan Mohd Adib Ibrahim, 39, mengusahakan tanaman pokok buluh madu di tanah seluas hampir dua ekar di Kampung Batu Empat, Slim River di sini.

Mohd Qasidinoor berkata, sambutan rebung pokok buluh madu memang tinggi terutamanya untuk pelbagai jenis juadah isi rumah atau pengusaha restoran.

“Ini memberi idea kepada saya dan rakan mengusahakan tanaman ini dengan menyewa tanah milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Pokok buluh madu tidak sama seperti yang terdapat di kampung atau hutan kerana rebung yang dihasilkan tidak miang atau gatal.

“Selain rasanya yang sedap dan rangup apabila dimasak, rebung madu juga tidak mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan seperti buluh yang lain,” katanya di sini baru-baru ini.

Selain itu, katanya, keunikan pokok buluh yang sudah matang dan rendang akan menyebabkan kawasan tanaman bebas rumput liar atau lalang.

“Malah, saya boleh menjual buluh kepada pengusaha kraftangan, arang atau perabot.
“Sifat pokok buluh madu yang tumpat tanpa rongga se­perti buluh biasa yang mencapai usia dua tahun boleh dijadikan arang atau perabot.

“Pokok ini memang memberikan manfaat yang banyak kepada pengusahanya cuma yang penting ialah sesuai ditanam pada musim tengkujuh kerana tidak perlu menyiram selain hanya perlu melakukan pembajaan secara berkala sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN