Bot nelayan Vietnam ceroboh Perairan Tioman ditahan - Utusan Malaysia

Bot nelayan Vietnam ceroboh Perairan Tioman ditahan

BOT nelayan asing bersama 10 kru ditahan dipercayai melakukan aktiviti penangkapan hasil laut tanpa kebenaran di perairan Tioman, Khamis lalu. - FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan asing (BNA) pada kedudukan kira-kira 64,820 meter di timur laut perairan Pulau Tioman, Rompin, dekat sini Khamis lalu.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, ketika melakukan rondaan udara di sekitar perairan Pahang, pasukan udara agensi berkenaan mengesan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pihak penguatkuasa Maritim Malaysia yang terlibat dalam rondaan Op Makmur dan Op Tiris segera diarahkan memeriksa bot tersebut.

“Menyedari kehadiran kapal maritim, bot itu cuba melarikan diri kerana enggan memberikan kerjasama dan berlaku kejar-mengejar lebih sejam sebelum bot nelayan terbabit berjaya dipintas.

“Hasil penggeledahan mendapati enam kru termasuk tekong berusia dalam lingkungan 19 hingga 37 tahun berada di atas bot yang kesemuanya lelaki warganegara Vietnam.

“Kesemua kru yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan mengemukakan lesen bot yang meragukan selain tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara ini,” katanya di sini hari ini.

Mazlan berkata, semua kru dan bot ditahan serta turut dirampas hasil tangkapan laut sebanyak 250 kilogram dengan dianggarkan bernilai lebih kurang RM1.7 juta.

Jelasnya, semua kru dan barangan sitaan dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 bagi setiap kru jika disabit salah.

“Pihak kami menyeru kepada komuniti maritim supaya terus menyalurkan maklumat serta menjadi mata dan telinga terhadap pasukan penguatkuasa bagi mengekang dan memerangi salah laku jenayah laut khususnya melibatkan pencerobohan bot-bot nelayan asing di perairan negara,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 095717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN