Biar mahkamah, Dewan Rakyat tentukan nasib saya – Syed Hussin - Utusan Malaysia

Biar mahkamah, Dewan Rakyat tentukan nasib saya – Syed Hussin

SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Biar mahka­mah dan Dewan Rakyat yang tentukan nasib saya,” kata Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Beliau bertekad untuk tidak tunduk terhadap cabaran dan gesaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabar enam Ahli Parlimen menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim me­ngosongkan kerusi masing-masing bagi memberi mandat kepada rakyat untuk memilih wakil mereka di Dewan Rakyat.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beliau akan terus mempertahankan kerusi tersebut walaupun terpaksa diheret ke mahkamah kerana diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Saya tidak akan mengosongkan kerusi ini. Biarkan mahkamah atau Dewan Rakyat yang tentukan nasib saya.

“Jika Bersatu mahu meng­heret isu ini ke mahkamah saya akan tetap lawan mempertahankan kerusi ini,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Anwar bahawa terpulang kepada enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya untuk melepaskan kerusi ma­sing-masing atau sebaliknya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, tindakannya memberi sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, selepas empat tahun menjadi ADUN pembangkang sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau tidak pernah mendapat peruntukan mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

ALASAN

“Pada masa sama, saya ada alasan tersendiri antaranya selepas melihat sendiri pentadbiran kerajaan negeri, pimpinan yang ada tidaklah seteruk seperti diuar-uarkan. Mereka bekerja untuk negeri dan rakyat.

“Melihatkan perkara ini jadi saya sokonglah, salah ke? Lagi pun, Bersatu Selangor sudah tidak perlukan saya,” katanya sambil memberitahu beliau tidak akan melepaskan kerusinya.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman yang kini sedang mengerjakan umrah di Mekah turut berpendirian sama apabila tidak akan mengosongkan kerusi dimenanginya pada PRU15 lalu.

“Saya tak akan kosongkan kerusi selagi mahkamah dan Speaker Dewan Rakyat tidak mengisytiharkan kerusi Labuan kosong.

“Jadi pastinya saya akan mempertahankan kerusi tersebut demi rakyat Labuan yang sudah terbiar sejak tiga penggal lalu.

“Tak perlu susahkan rakyat untuk adakan PRK. Buang duit kerajaan saja. Tunggulah PRU16 akan datang,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin dalam kenyataannya, mencabar Kerajaan Perpaduan mengisytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kosong selepas wakil rakyat Bersatu menyokong Perdana Menteri.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, mandat harus dikembalikan kepada rakyat menerusi PRK di semua kerusi berkenaan.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan soko­ngan kepada Perdana Menteri ialah Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu, Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN terbabit pula adalah Abdul Rashid (Selat Klang) yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×