Perlembagaan baharu Bersatu tiada kesan - Utusan Malaysia

Perlembagaan baharu Bersatu tiada kesan

Bersatu
ABDUL Rashid Asari menyampaikan ucapan pada Ceramah Isu Semasa sempena kempen PRK Kuala Kubu Baharu dekat pekan Batang Kali di Hulu Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Pindaan Perlembagaan yang dilakukan oleh Parti Bersatu tidak memberi kesan kepada pemimpinya yang beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pindaan tersebut hanya memberi kesan kepada pemimpin-pemimpin parti itu yang ingin memindahkan sokongan pada masa akan datang.

Malah, menurut beliau, sehingga kini Bersatu tidak menghantar sebarang notis dan ia merupakan parti tersebut sedar bahawa dirinya tidak terkesan dengan pindaan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pindaan perlembagaan baharu itu yang dikatakan bermula 1 April lalu, jadi dari tarikh itu ke atas kesannya boleh diimplikasikan, tetapi tindakan yang saya buat adalah sebelum Perlembagaan dipinda dan mereka tidak boleh guna untuk ambil tindakan terhadap saya.

“Ia tidak boleh dikebelakangkan. Jadi perlembagaan baru itu untuk masa depan bukan sebelum itu. Sebab itu sampai sekarang mereka (Bersatu) tidak ada hantar apa-apa notis,” katanya ketika ditemui pemberita, malam tadi.

Terdahulu, Bersatu dilapor meluluskan pindaan Perlembagaan parti yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya sekiranya menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan pendirian atau arahan parti.

Keputusan tersebut dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) Bersatu yang berlangsung 2 Mac lalu selepas perwakilan parti yang hadir sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 Perlembagaan parti berkenaan.

Keputusan itu dibuat pada EGM selepas perwakilan BERSATU yang hadir sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 Perlembagaan parti.

Untuk rekod, Abdul Rashid bersama enam Ahli Parlimen Bersatu sebelum ini mengistiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang menegaskan, beliau akan melawan Lembaga Disiplin Bersatu ekoran pengisytiharan sokongannya kepada kerajaan negeri.

“Saya akan balas apa-apa yang mereka tuduh saya dan akan berlaku siasatan oleh Lembaga Disiplin. Katakanlah Lembaga tersebut mengatakan saya bersalah, dia pecat saya.

“Ia cuma pecat keahlian, bukan jawatan ADUN. Kuasa untuk mengosongkan kerusi adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kehadiran beliau dan berceramah dalam kempen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, beliau mengatakan tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang melarangnya untuk berbuat demikian.

“Saya sudah buat semakan Perlembagaan Bersatu, dalamnya tidak ada apa-apa peruntukan di mana sekiranya kita membuat ceramah di mana-mana akan menyebabkan mereka boleh mengambil tindakan.

“Mereka boleh pecat saya sekiranya saya keluar daripada parti dan menyokong parti lain tetapi tidak ada peruntukan yang mengatakan saya tidak boleh berceramah,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini