Bersatu lulus pindaan perlembagaan lucut keahlian jika beralih sokongan - Utusan Malaysia

Bersatu lulus pindaan perlembagaan lucut keahlian jika beralih sokongan

Muhyiddin Yassin (dua kanan) berbincang mengenai pindaan perlembagaan Bersatu ketika hadir pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal Selayang di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam meluluskan usul pindaan perlembagaan parti melibatkan beberapa fasal untuk mengekang peralihan sokongan dalam kalangan ahli parlimennya. 

Susulan itu, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menulis surat kepada enam ahli parlimennya yang beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, surat itu bertujuan untuk meminta pengesahan sama ada mereka masih mahu menyokong Perdana Menteri atau sebaliknya.

“Kita akan bawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk diluluskan secepat mungkin dan akan dikuatkuasakan serta-merta,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Khas Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Selayang, semalam.

Enam ahli Parimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). 

FASAL

Pindaan perlembagaan Bersatu membabitkan tambahan beberapa fasal dalam Fasal 10.

Fasal 10.4 menyaksikan, “Mana-mana ahli Bersatu yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi yang selari dengan Fasal 10.5 adalah disifatkan sebagai terhenti keahliannya daripada  parti Bersatu secara serta-merta”.

Fasal 10.5 pula memperuntukkan, “Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan apa-apa arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau Dewan Negeri. Semua arahan yang dikeluarkan di bawah fasal itu hendaklah dibuat secara bertulis”.

Menerusi Fasal 10.6 pula, “Merujuk kepada Fasal 10.4, Setiausaha Agung di atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi hendaklah mengeluarkan satu notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta-merta dan bahawa nama beliau telah dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian Parti Bersatu”.

Terdahulu, ketika berucap pada perhimpunan khas itu, Muhyiddin berkata, sebelum ini, parti hanya boleh menggantung keahlian ahli Parlimen yang menyokong parti lawan tanpa memberi kesan kepada kerusi disandang.

Menurut beliau, pindaan perlembagaan parti itu bertujuan menyelaraskan peruntukan dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai undang-undang antilompat parti.

“Jadi kita pulangkan semula mandat kepada rakyat di enam buah kawasan. Saya yakin Perikatan Nasional (PN) akan menang besar di semua kerusi terbabit,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×