MELAKA: Menu ringkas, ayam goreng kunyit menjadi antara juadah tumpuan orang ramai di Bazar Ramadan Taman Cempaka di sini untuk berbuka puasa.
Pengusahanya, Rose Aida Mohd. Nor, 40, berkata, dia masih mengekalkan harga RM8 untuk sebungkus ayam goreng kunyit termasuk nasi dan sambal manakala RM9 sebungkus bagi daging goreng kunyit.
Menurutnya, dia berusaha untuk mengekalkan harga dua menu itu untuk membantu orang ramai walaupun terdapat peniaga mula menaikkan harga berikutan peningkatan kos bahan mentah.
“Buat masa ini saya kekal harga seperti tahun lalu, tidak ada peningkatan mendadak biarlah dapat untung sikit pun, tidak mengapa yang penting ramai pelanggan datang beli.
“Cuma nasi ayam butter (mentega) saya naikkan daripada RM8 sebungkus kepada RM9, manakala harga sotong goreng kunyit serta udang goreng kunyit adalah RM15 dan RM12.
“Saya sudah empat tahun jual nasi ayam goreng kunyit di sini. Alhamdulillah sambutan sangat memberangsangkan dan setakat ini mampu dijual sehingga 150 hingga 200 bungkus sehari,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Rose Aida, juadah dijualnya berjaya menarik perhatian orang ramai kerana ia digoreng pada waktu jualan, selain kesedapan sambal diberikan sebagai pelengkap rasa.
“Kuantiti ayam, udang, sotong dan nasi yang dijual kepada pelanggan diberikan lebih daripada biasa bagi menarik minat pelanggan,” katanya. – UTUSAN










