BESAR makna pertemuan dengan figura ikonik ini. Sekian lama saya berhasrat untuk bertemu serampang dua mata, berkongsi pandangan dengan Datuk Dr. Lim Swee Tin. Akhirnya impian saya terlaksana dan saya dipertemukan dengan sasterawan terulung ini di pentas Cipta Citra yang berlangsung baru-baru ini.
Bukan kecil pengorbanan dan jasa figura ini kepada dunia penulisan sastera dan puisi negara. Terlalu besar sumbangan beliau berikan.
Perbualan kami berlaku sepanjang perjalanan pulang kami dari Ipoh ke Kuala Lumpur selepas selesai program berkenaan. Kesempatan itu saya manfaatkan dengan mendalami latar belakang serta pengalaman yang beliau kumpul sebagai seorang pejuang puisi sastera.
Mungkin ramai yang tidak tahu sasterawan dihormati ini lahir disebuah kampung nelayan di Kelantan yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu Islam.
Disebabkan itu, Swee Tin sejak lahir sudah didedahkan dengan cara hidup orang Melayu, menjadikan beliau seorang Cina yang cukup dekat dengan budaya Melayu.
“Saya dilahirkan di kampung Tawang, Bachok Kelantan. Majoriti penduduk di sana berbangsa Melayu dan ada beberapa keluarga Cina yang tinggal di kampung itu.
“Saya berkawan dengan orang Melayu, pertuturan harian saya juga dalam bahasa Melayu berdialek Kelantan dan banyak aktiviti saya lakukan bersama orang Melayu. Boleh katakan pengaruh Melayu itu kuat sejak saya kecil lagi.
“Pengalaman yang saya lalui sejak kecil membentuk peribadi saya hari ini. Hidup bermuafakat antara kaum membuat saya tidak nampak perbezaan bangsa. Malah saya lebih fasih berbahasa Melayu, kekok berbahada Mandarin mahupun Hokien,” kongsinya.
Kata Swee Tin, beliau mempunyai keluarga angkat berbangsa Melayu yang menjaganya seperti keluarga kandung sejak usianya kecil lagi.
“Kami akrab, keluarga angkat saya cukup mengambil berat terhadap keluarga saya sampai ke hari ini. Sejak saya dilahirkan, selain keluarga kandung, makan minum saya juga dijaga keluarga angkat. Kalau ibu saya tak sempat sediakan makanan, saya akan pergi ke rumah keluarga angkat saya yang terletak 100 meter dari rumah saya untuk makan. Ada masanya saya bermalam di rumah keluarga angkat.
“Kalau ibu kandung saya bersalin, ibu angkatlah yang akan menjaga beliau ketika 40 hari berpantang. Sebab itu cara makan kami tidak seperti Cina, lebih menyamai orang Melayu.
“Keakraban kami membentuk pemikiran saya, membuatkan saya tidak nampak jurang beza antara bangsa sampai ke hari ini. Dan sampai hari ini juga hubungan saya dengan keluarga angkat tersebut terus hidup,” kongsinya.
HIDUP SENANG BERTUKAR PAPA KEDANA
Swee Tin dibesarkan dalam keluarga senang dengan hasil dua perniagaan ayahnya, iaitu kedai makananan dan runcit menjadi punca pendapatan mereka sekeluarga.
Dengan pendapatan yang ada, ayah beliau menggalakkan Swee Tin banyak membaca pada usia kecilnya.
“Perniagaan makanan yang diusahakan ayah saya ketika itu sangat maju dengan majoriti pelanggannya adalah orang Melayu. Pelanggan yakin ayah saya tidak makan makanan yang tak halal, justeru tak ada masalah makan di kedai ayah saya.
“Ayah saya amat menggalakkan saya belajar membaca, justeru memberikan wang untuk saya membeli buku. Saya masih ingat dahulu untuk mendapatkan buku tidak mudah, terpaksa menunggu peniaga masuk ke kampung sebulan sekali membawa buku untuk dijual dengan harga serendah lima sen. Itu sahaja cara orang kampung zaman itu dapatkan buku.
“Saya beruntung kerana ada kakak angkat yang mengajar saya membaca dan menulis sebelum saya masuk ke sekolah lagi.
“Sebelum masuk sekolah, saya sudah pandai menulis dan membaca dengan baik berkat ilmu yang diajarkan kakak angkat saya itu,” ujarnya.
Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan di tengah hari. Kehidupan Swee Tin sekeluarga sekelip mata berubah selepas perniagaan ayahnya ranap dimusnahkan bencana alam.
Dari hidup senang, bertukar papa kedana.
“Kejadian air pasang yang meranapkan perniagaan ayah saya itu berlaku pada tahun 1961. Ketika itu saya belajar darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Tawang.
“Nasib hidup kami berubah, menjadi melarat dan terpaksa menumpang di rumah sebuah keluarga Cina yang lain. Kami sangat miskin sehingga setahun kemudian ayah saya terpaksa berpindah ke bandar Machang dengan mencari pendapatan menjual kuih untuk menyara keluarga.
“Di Machang saya meneruskan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Machang sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Machang sehingga tingkatan lima. Di sanalah buat pertama kalinya saya masuk perpustakaan dan terkejut melihat ratusan buku depan mata.
Minat membaca saya semakin bercambah ditambah dengan hobi baharu iaitu menulis pantun dan syair.
“Saya kemudian berpindah ke Jitra Kedah dan bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim dalam tingkatan enam sebelum berpindah ke Kota Bharu dan menyambung pembelajaran dalam tingkatan yang sama. Keadaan keluarga yang masa itu masih miskin membuatkan saya terpaksa berhenti belajar selepas itu,” ujarnya.
USMAN AWANG
KEKAGUMAN dan ketakjuban Swee Tin terhadap keindahan bahasa Melayu sejak usianya masih kecil mendorong Swee Tin untuk menjadi penulis ketika dewasanya.
Kata beliau, antara penulisan terawal yang memberikan beliau inspirasi dalam bidang itu adalah sebuah naskhah yang dinukil sasterawan tersohor, Usman Awang.
“Buat pertama kalinya saya membaca buk teks ketika masuk ke sekolah menengah. Ketika itu saya hanya meminjam buku teks dari kawan dan terjumpa sajak bertajuk Kisah Dalam Ribut yang ditulis Usman.
“Penceritaan sajak itu yang berkisar tentang kehidupan keluarga miskin menarik perhatian saya yang juga pada ketika itu, hidup miskin papa kedana. Ketika itu barulah saya sedar kemiskinan yang saya alami rupanya boleh juga saya zahirkan menerusi sajak.
“Sejak itu saya berkhayal dan memasang impian untuk menjadi seperti Usman yang namanya pada ketika itu sentiasa menerawang dalam fikiran saya. Saya katakan pada diri saya satu hari nanti, saya mahu menerbitkan sajak, menjadi orang terkenal seperti Usman dan menghasilkan sajak yang dibukukan dan dibaca ribuan pelajar sekolah. Syukur, kesemua hasrat itu sudah saya capai,” kongsinya.
Bagai mimpi jadi kenyataan, hasrat Swee Tin bertemu idolanya itu terlaksana pada tahun 1976. Ketika itu, buat pertama kalinya Swee Tin berjumpa serampang dua mata dengan figura bertaraf legenda itu.
“Kami bertemu sempena majlis ulang tahun persatuan penulis Kelantan. Hari itu keramat bagi saya kerana dapat berjumpa idola saya sejak kecil.
“Saya agak kekok bercakap dengannya memandangkan arwah ketika itu seorang sasterawan negara. Namun beliau memiliki sifat rendah diri, enggan dipanggil sebagai Datuk dan mengajak saya berjumpa dengannya di Dewan Bahasa Pustaka kalau saya ke Kuala Lumpur,” jelasnya.
Usman pernah menyampaikan pesanan, meminta Swee Tin tidak berhenti menulis dalam apa keadaan sekalipun.
Kata-kata tersebut menjadi azimat dan pendorong untuk Swee Tin meneruskan perjuangan dalam penulisan puisi dan sastera sehingga ke hari ini.
“Saya masih ingat, pada tahun 1999, saya dihubungi sebuah organisasi korporat bernama Renung yang pada waktu itu mencari penulis sajak bagi kempen menyelamatkan hutan yang mereka usahakan.
“Individu yang menghubungi saya memaklumkan nama saya dicadangkan Usman selepas beliau menolak untuk menulis sajak bagi kempen tersebut disebabkan kesihatannya yang tidak mengizikan.
Katanya, saya adalah penulis yang layak menggantikannya disebabkan sajak tulisan saya katanya setaraf dan sebaik sajaknya.
“Ketika itu saya hilang kata-kata, seorang yang saya idolakan selama berkata seperti itu, membuatkan saya terharu dan sedikit berbangga.
“Kata-kata sasterawan negara itu meninggalkan kesan dan mendorong saya untuk meneruskan pembabitan dalam penulisan sastera dan puisi sampai ke hari ini. Hati saya teguh dalam penulisan dan sejak itu tidak lagi menoleh kebelakang,” kongsinya. – UTUSAN










