SEMENYIH: Masalah lambakan kenderaan buruk dan terbiar bakal diatasi apabila Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memperkenalkan sistem e-Dereg, perkhidmatan pembatalan pendaftaran pemilikan kenderaan motor secara atas talian.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia bagi menangani isu lambakan kenderaan buruk dan terbiar di kawasan perumahan.
Katanya, sistem itu membolehkan mana-mana pemilik berdaftar yang berhasrat melupuskan kenderaan motor untuk membuat pembatalan pendaftaran kenderaan secara atas talian.
“Salah satu perkara yang menyebabkan pemilik kenderaan tidak berminat untuk menyelesaikan isu kenderaan terbiar adalah kerumitan proses bagi melupuskan kenderaan dengan teratur.
“Sistem e-Dereg ini membolehkan pemilik untuk membatalkan pendaftaran kenderaan tanpa perlu hadir di kaunter JPJ lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lawatan kerja Live Demo Pelupusan Kenderaan dan Langkah Mengatasi Kenderaan Terbiar di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, pelupusan kenderaan melalui sistem tersebut hanya boleh dilaksanakan di Fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, ia bertujuan mengelakkan pencemaran alam sekitar selain penjualan semula komponen kenderaan yang tidak selamat digunakan.
“Sisa dan bahan buangan kenderaan berjadual perlu diuruskan mengikut peraturan JAS. Ini bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab membuangnya dalam saliran yang akan membahayakan orang awam,” katanya. – UTUSAN










