Anak mengeluh penat ambil air guna kereta sorong

Anak mengeluh penat ambil air guna kereta sorong

PENGHANTARAN air menggunakan lori tangki yang dilakukan ke rumah penduduk di Kampung Kuala, Papar, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Hampir setiap hari terpaksa mengangkat air menggunakan kereta sorong dan setiap hari juga mendengar keluhan anak yang mengadu sakit belakang.

Penduduk Kampung Kuala, Manila Anim, 36, berkata, memandangkan sudah masuk sebulan mereka tidak mendapat air paip maka, mereka bergantung kepada ehsan jiran yang masih mempunyai air paip.

“Selama sebulan langsung tiada air paip dan nasib jugalah jiran yang menggunakan pam air membenarkan kami mengambil air dari rumah mereka.

“Jadi, anak-anak saya yang akan ambil dan menyorong air guna kereta sorong. Sampai anak mengeluh…emak sakit-sakit sudah badan, belakang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Manila yang tinggal bersama 14 ahli keluarga lain itu menyatakan ada kalanya mereka terpaksa mengambil air laut di belakang rumah untuk menyiram dan membersihkan tandas.

Katanya, baju anak-anak sekolah pula terpaksa tumpang cuci di rumah jiran yang masih mendapat bekalan air kalau tidak buat begitu, persekolahan anak-anak pasti akan terjejas.

Menurutnya, penduduk di kampung tersebut kebanyakannya adalah nelayan jadi, tidak semua mampu membeli air mineral untuk kegunaan memasak.

“Sejak berpuluh tahun tinggal di sini, masalah air sekarang yang paling teruk. Sebelum ini tidak pernah bekalan air terputus untuk tempoh yang begitu lama.

“Tapi, saya hairan sebab beberapa kampung lain masih mempunyai bekalan air. Kenapa di sini saja langsung tiada bekalan air,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala, Alias Kadir, 50, berkata, keadaan yang berlaku sekarang amat kritikal bagi penduduk di situ.

Jadi, beliau berharap penduduk boleh dibekalkan dengan tong simpanan air bagi membolehkan mereka menyimpan air untuk kegunaan harian.

Biarpun lori tangki air datang menghantar air tapi, jika penduduk tidak mempunyai tong simpanan air sendiri maka, air yang dihantar hanya cukup untuk kegunaan sehari sahaja. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN