Sarimah amal sembur air Zam Zam - Utusan Malaysia

Sarimah amal sembur air Zam Zam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTEMUAN serampang dua mata dengan biduanita bertaraf legenda ini menjadi pengalaman istimewa buat saya yang membesar dengan  filem-filem lakonannya. 

Datuk Sarimah Ahmad satu nama yang cukup disegani, berada pada kedudukan tersendiri dengan pelbagai pencapaian diraihnya sepanjang lebih enam dekad bergelar anak wayang. 

Sarimah berbagi pengalaman dan banyak cerita sepanjang beliau aktif dalam dunia lakonan. Antara yang menimbulkan kekaguman adalah kecantikan dramatis ini yang berkekalan di usianya menjangkau 82 tahun. 

Jelas Sarimah segan apabila kecantikannya dipuji pengamal media. Kata beliau, mungkin asbab manfaat air Zam Zam selain amalan membaca al-Quran menghadirkan ketenangan sekali gus menimbulkan seri pada wajahnya yang tak dimamah usia. 

“Tiada rahsia dan tak ada membabitkan penggunaan produk tertentu. Mungkin inilah kesannya apabila hati saya tenang dengan amalan membaca al-Quran. 

“Seperkara lagi, manfaat air Zam Zam yang saya semburkan pada wajah pagi dan malam. Air ini sentiasa dalam simpanan saya. Keberkatannya besar. 

“Apa pun saya mahu sentiasa bersama Allah SWT. Saya reda dengan ujian dan ketentuan-Nya. Saya bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk sentiasa mengingati-Nya,” kata Sarimah. 

Sarimah mengakui masih menerima tawaran berlakon. Bahkan ada penerbit yang menginginkan beliau membuat kemunculan istimewa dalam drama dan  lem yang mereka terbitkan. 

Namun biduanita ini sudah meletakkan titik noktah dan berpegang kepada keputusan untuk tidak lagi berlakon. 

“Ada penerbit meluahkan hasrat agar saya muncul sekejap dalam naskhah yang mereka hasilkan, minta saya nyatakan jumlah bayaran supaya saya lunaskan permintaan mereka. 

“Tapi saya tolak cara baik. Saya sudah tak mahu semua itu, tak kejar wang ringgit. Duit memang penting, tapi bukan keutamaan bagi saya. 

“Saya letih berlakon. Apa lagi yang saya kejarkan? Publisiti? Populariti? Saya tak mahu semua itu. Saya hanya mahu bersedia untuk bertemu pencipta, harapkan Tuhan beri pengampunan,” ujarnya.

TIDAK MENYESAL JADI PELAKON

SARIMAH menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Ganchong, Pekan, Pahang sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Special Malay One di daerah sama. 

Cita-cita asal beliau untuk menjadi doktor perubatan tidak kesampaian apabila Sarimah memutuskan untuk menjadi pelakon. 

Penglibatan sebagai anak wayang menghadirkan pengalaman berharga buat pelakon veteran ini. Pelbagai liku dan cabaran diharungi, mungkin berbeza dengan kesukaran yang dihadap pelakon generasi sekarang. 

“Bukan senang jadi pelakon zaman dulu. Hidup serba kekurangan. Pergi kerja tak berkenderaan, berulang alik dengan berjalan kaki dari rumah ke set penggambaran. Saya masih ingat fasa selepas saya melahirkan anak sulung. Terpaksa menelusuri hutan sekitar tengah malam untuk pulang menyusukan anak di rumah. 

“Banyak pengalaman yang saya lalui sepanjang menjadi pelakon. Bersilat, berlakon bawah hujan, di kawasan bendang dalam cuaca terik, cedera sampai berdarah kaki kerana langgar dinding. 

“Bayaran yang diterima pun tidak mewah seperti pelakon sekarang. Kami terima gaji bulanan sebanyak RM100 selain menerima bayaran tambahan RM200 kalau berlakon  filem. 

“Dulu tidak ada istilah kejar populariti. Kami berlakon sematamata untuk mencari sesuap nasi dan menyara keluarga,” kongsinya. 

Namun kata Sarimah beliau tidak pernah menyesal menjadi pelakon. Beliau percaya semua itu rezeki yang ditentukan Tuhan. 

“Kerana  lemlah saya beri makan anak-anak dan membesarkan mereka. Kerana  lem jugalah orang kenal saya. 

“Saya tak pernah menyesal walaupun pekerjaan saya selalu dicemuh dan diperkatakan orang. 

“ Pekerjaan itu tak busuk, tetapi manusialah yang mengotorkan,” kongsinya lagi.

KENANG JASA P. RAMLEE

“Jangan tinggalkan  filem, penat aku bawa kamu jadi pelakon.” Itu pesanan terakhir Allahyarham Tan Sri P.Ramlee kepada Sarimah sebelum seniman agung itu meninggal dunia pada Mei 1973. 

Sarimah akui terlalu besar jasa dan pengorbanan Allahyarham yang menjadi satu-satunya individu yang memperkenalkan pelakon ini di layar perak. 

“Kalau nak dikenang, memang banyak pengalaman manis bersama P.Ramlee yang boleh saya ceritakan. 

“Arwah baik orangnya, dialah yang membawa saya masuk ke dalam dunia lakonan. 

“Dia juga sangat rapat dengan arwah ibu saya. Sampai sekarang saya ingat pesanan terakhirnya itu kepada saya. Tapi saya katakan padanya saya tak dapat nak berjanji (untuk terus berlakon sampai ke akhir hayat),” kata Sarimah yang antara lainnya menggelar P. Ramlee dengan panggilan ‘wak’. 

Ujar Sarimah, beliau sedih dengan situasi menimpa waris Allahyarham dan berharap lebih ramai pihak yang prihatin membantu anak cucu seniman terulung itu. 

“Anaknya, Sazali sedang sakit. P.Ramlee cukup sayang padanya. Kalau berkemampuan, tolonglah dia cucunya, Najua Nasir,” luahnya.

DOA UNTUK PALESTIN

BIDUANITA kesayangan ramai ini bersyukur kerana berkesempatan menziarahi bumi Palestin Mac tahun lepas. Kata Sarimah, kunjungan ke tanah penuh barakah itu menghadirkan kenangan indah yang tidak dapat beliau lupakan. 

“Saya bersyukur kerana berpeluang solat di masjid Al Aqsa sepanjang keberadaan di sana tahun lepas. Jujur, ketenangan yang saya rasakan ketika itu tidak saya peroleh di mana-mana. 

“Saya meluangkan 11 hari di Palestin. Alhamdulillah kunjungan ke sana tahun lepas dipermudahkan Allah. Tiada satu barang pun yang dirampas dari saya ketika di sana. 

“Allah makbulkan permintaan saya yang mahu solat di tiga masjid iaitu Nabawi, Haram dan Al Aqsa. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan,” kongsinya. 

Dalam pada itu, Sarimah meluahkan rasa sedih dengan situasi yang berlaku kepada rakyat Palestin ketika ini. 

Katanya beliau cukup terkesan, dan sentiasa menghadiahkan doa untuk rakyat negara itu. “Saya terkesan melihat penganiayaan rejim Zionis terhadap umat Islam di sana. Sedih hati saya apabila menyaksikan umat Islam yang solat di masjid Al Aqsa dikasari. 

“Saya sentiasa berdoa agar penduduk Palestin bebas daripada penjajahan Israel dan berharap keadilan berpihak kepada mereka,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN