Aktiviti cerapan langit imarahkan masjid sempena Ramadan - Utusan Malaysia

Aktiviti cerapan langit imarahkan masjid sempena Ramadan

JEMAAH Masjid Saidatina Aisyah, Bandar Seremban Selatan yang baru selesai menunaikan solat tarawih tidak ketinggalan melihat bulan dengan lebih dekat menerusi program Cerapan Langit Malam Sempena Kembara Falak Ramadan 1445H anjuran Jabatan Mufti Negeri, Negeri Sembilan di masjid berkenaan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selain mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti keagamaan sempena keberkatan bulan Ramadan ini, Jabatan Mufti Negeri, Negeri Sembilan mengambil inisiatif menganjurkan program Cerapan Langit Malam Sempena Kembara Falak Ramadan 1445H.

Program dengan kerjasama Balai Cerap Telok Kemang dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Sembilan itu melibatkan  enam buah masjid dan telah berlangsung sejak 18 Mac lalu.

Pembantu Hal Ehwal Islam, Unit Falak, Bahagian Falak dan Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Khairul Anuar Samsudin berkata, tahun ini merupakan tahun kedua pihaknya menganjurkan aktiviti cerapan langit pada bulan Ramadan.

Jelasnya, tahun lalu pihaknya mengadakan program berkenaan di sekolah-sekolah yang mempunyai Kelab Falak namun kali ini ia diadakan di masjid-masjid terpilih.

“Tahun ini kami jelajah masjid pula, cerapan langit dilakukan bermula pukul 8 malam, sambutan sangat mengujakan kerana ramai jemaah masjid yang selesai menunaikan solat tarawih mengambil peluang untuk melihat bulan menggunakan peralatan khusus yang disediakan.

“Ini mungkin pengalaman pertama mereka melihat bulan sehingga permukaannya dengan lebih dekat, kita juga boleh mencerap planet-planet malah selepas empat hari program ini diadakan, kami juga dapat mencerap planet Musytari,” katanya ketika ditemui di Masjid Saidatina Aisyah, Bandar Seremban Selatan di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Saidatina Aisyah, Mohammad Ridzuan Abdul berkata, program yang diadakan tersebut merupakan program yang baik bagi mengimarahkan masjid selain program-program sedia sempena Ramadan ini.

“Ia memberikan pendedahan kepada orang awam mengenai astronomi, beri peluang kepada orang ramai untuk lihat lebih dekat bulan dan cakerawala, ini pendekatan yang cukup baik kerana tanpa peralatan digunakan memang sukar untuk kita dapat peluang pengalaman ini,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×