KUANTAN: “Ketika kejadian saya nampak air berpusing tarik mangsa dan selepas itu nampak ekor buaya.”
Demikian, ujar saksi kejadian, Fisol Tolos, 21, rakan warga Kemboja, Sary Tolos, 26, yang dilaporkan hilang selepas masuk ke dalam sungai ketika menjala ikan bersama dua rakannya di Sungai Mati, Tanjung Putus, Bukit Rangin di sini kira-kira pukul 10 malam semalam.
Fisol berkata, sewaktu kejadian mangsa dan seorang lagi rakan, Hanifa Rorny turun ke sungai kerana jala ditebar ketika menjala ikan tersangkut.
“Ketika jala lekat, mereka berdua termasuk mangsa masuk dalam air manakala saya memegang jala untuk tarik dari atas.
“Tiba-tiba nampak air berpusing dan mangsa terus hilang seperti ditarik… saya segera menghubungi rakan-rakan lain untuk memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Hanifa pula berkata, ketika mangsa hilang, dia yang turut berada dalam sungai cuba mencari Sary namun tidak jumpa.
“Selepas dua minit kejadian, saya nampak kelibat buaya di hutan berhampiran. Saiznya besar dan saya tidak pernah jumpa saiz menyamai sebesar sebuah kereta. Ketika keluar memancing biasanya kami hanya terjumpa anak-anak sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 12 tengahari hari ini di tebing sungai sejauh 300 meter daripada tempat mangsa dipercayai hilang.
Mangsa ditemukan sempurna namun terdapat kecederaan dengan kesan gigitan dipercayai akibat dibaham buaya.
Komander Kanan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Azaruddin Mohd Azan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota berkata, mayat mangsa ditemukan selepas anggotanya menggunakan kaedah pencarian permukaan air dengan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuantan.
“Bila kita terima maklumat daripada saksi mengatakan mangsa ditarik buaya jadi kita sukar untuk buat selaman. Disebabkan kesukaran itu, kita cuba juga buat pencarian water surface searching terlebih dahulu untuk melihat keadaan dengan bantuan Jabatan Perhilitan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa ditemukan terdampar di tebing sungai setelah air surut.
“Siasatan awal menolak kemungkinan mangsa diserang buaya sebelum lemas, ini kerana kebetulan sungai itu memang habitat buaya.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk dibedah siasat bagi mengetahui sebab kematian dan siasatan dilakukan di bawah mati mengejut,” katanya. – UTUSAN










