LIPIS: Restoran Gulai Kampung di Bandar Baru Kuala Lipis di sini menyediakan 50 menu masakan ala kampung untuk memenuhi selera pelanggan bulan Ramadan ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Restoran Gulai Kampung, Sakinah Yaakub, 53, berkata, menu makanan di sini adalah berkonsepkan nasi putih dan lauk-pauk yang mampu memenuhi selera pelanggan.
“Antara menu ala kampung yang terdapat di sini ialah gulai asam rong, gulai lemak daging salai, gulai patin tempoyak, kari kambing, gulai daging kawah dan pais patin.
“Turut menjadi pilihan orang ramai menu sampingan seperti kerabu pucuk paku, kerabu mangga, kangkung goreng belacan, gulai lemak nangka, ulam-ulaman, sambal belimbing hitam dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sakinah berkata, sempena Ramadan, beliau menyediakan hidangan bufet bermula minggu kedua puasa hingga hari terakhir dari pukul 3 petang hingga 8.30 malam.
Beliau menjelaskan, pakej bufet Ramadan berharga RM35 untuk dewasa, kanak-kanak RM25 manakala percuma bagi kanak-kanak berusia bawah lima tahun.
“Kami mula menyediakan bufet Ramadan sejak 2019 dan syukur ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan.
“Mungkin faktor tidak banyak kedai makan atau restoran di Lipis yang menyediakan bufet Ramadan maka ramai yang datang membawa keluarga, rakan-rakan dan orang tersayang untuk menikmati pelbagai juadah yang disediakan di sini,” katanya.
Menurutnya, selain tempat makan berhawa dingin, tingkat dua restoran itu juga menyediakan ruang untuk sebarang majlis yang boleh memuatkan 65 orang satu masa.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan makanan boleh menghubungi Sakinah di talian 017962 3177 atau layari Facebook Restoran Gulai Kampung Kuala Lipis. – UTUSAN










